PENGUNJUNG SETIA

26 Mei 2012

RM21 JUTA BR1M DIAGIH KEPADA 42,000 PENERIMA DI MUAR, LEDANG

SEGAMAT 25 Mei - Kira-kira RM21 juta Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diagih-agihkan kepada kira-kira 42,000 penerima di daerah Muar dan Ledang.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim (gambar) berkata, kira-kira RM11 juta diagihkan kepada 22,000 penerima BR1M di daerah itu meliputi semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. 

“Kita yakin tidak ada rakyat yang tercicir daripada mendapat BR1M. Kerajaan bagi kepada semua tidak kiralah orang itu ahli parti politik ke atau tidak ada parti politik.

“Ini adalah wang rakyat, diberi semula kepada rakyat," katanya semasa merasmikan Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Segamat, dekat sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa BR1M adalah gula-gula yang diberikan kerajaan untuk memancing undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri pula memberitahu, sebanyak RM10 juta diagih-agihkan kepada kira-kira 20,000 penerima BR1M di daerah berkenaan.

Hamim berkata, pengagihan tersebut dilakukan dengan lancar tanpa sebarang masalah dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini melibatkan lebih lima fasa.

Beliau berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam pengagihan wang tersebut terutamanya Pejabat Daerah Ledang, polis, Maybank cawangan Ledang dan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela). 

“Sesungguhnya usaha mereka amat cemerlang kerana telah berjaya mengurus tugasan tersebut tanpa banyak kerenah dan tidak banyak aduan. Mereka semua sanggup bertugas semasa cuti hujung minggu dan berpanas dalam tempoh itu," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 MEI 2012

Tiada ulasan: