TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

06 Mei 2012

WASPADA CUBAAN HAPUS UMNO

Wartawan Sinar Harian

Waspada cubaan hapus Umno
Abdul Ghani (lima dari kanan) menyerahkan bendera parti 'Saka Saka Bangsa' kepada Ali sempena sambutan ulang tahun Umno ke-66 di Dataran Kesang dekat sini, semalam.
 
LEDANG – Ahli Umno diminta memperkukuhkan perpaduan dan tidak sesekali membenarkan sebarang usaha pihak tertentu menggugat kedudukan Umno di negeri Johor.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, Umno yang lahir di negeri Johor masih kukuh, tetapi setelah 66 tahun penubuhannya, Umno sentiasa menghadapi pelbagai cabaran sehingga ketika ini.

Menurutnya, Umno terpaksa berhadapan usaha pihak tertentu yang tidak berkesudahan mahu melumpuhkan kekuatan politik Melayu dengan cara melemahkan dan menghapuskan Umno.

“Ini cabaran getir yang sedang Umno hadapi dan kita perlu bekerja keras untuk mempertahankan kekuatan politik sedia ada bagi memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa memegang tampuk pemerintahan negara.

“Saya harap orang Melayu faham dan mengajak semua ahli Umno untuk mengumpul kekuatan bagi menghadapi cabaran ini,” katanya ketika berucap sebelum penyerahan bendera parti ‘Sang Saka Bangsa’ kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam sempena sambutan ulang
tahun Umno Ke-66 di Dataran Kesang dekat sini, semalam.

Abdul Ghani yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Johor berkata, kekuatan itu perlu disemarakkan terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

“Dengan cara ini, kita dapat buktikan bahawa Umno masih lagi menjadi sumber kekuatan politik dalam negara dan seterusnya mendapat kemenangan besar dalam PRU-13 nanti.

“Dengan kemenangan ini akan dapat membuktikan kepada negara dan dunia bahawa Umno masih lagi releven dan kukuh, bukan sahaja dulu, sekarang tetapi untuk selamanya,” katanya.

Katanya lagi, 66 tahun lalu, Datuk Onn Jaafar mengajak orang Melayu berjuang untuk menyelamatkan bangsa daripada terus dijajah oleh Inggeris melalui Malaya Union.

Tambahnya, ketika itu Umno juga berjuang mendapatkan kemerdekaan dan membangunkan bangsa Melayu serta rakyat Malaysia.

“Malahan Umno juga mempertahankan kedaulatan raja, memperjuangkan syiar Islam, perjuangkan ekonomi orang Melayu, bahasa dan budaya Melayu secara berterusan.

“Jika ahli Umno masih leka dan tidak sedar, saya khuatir segala perjuangan pemimpin Umno terdahulu akan menjadi sia-sia,” katanya.

Justeru, beliau mengajak ahli Umno supaya menghadapi cabaran tersebut dengan penuh komitmen dan berazam untuk mempertahankan semua kerusi yang dipertandingkan dalam PRU.

“Tidak kira siapa pun pemimpin pembangkang yang bertanding sama ada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Pas, Datuk Abd Hadi Awang ataupun Penasihat DAP, Lim Kit Siang , kita akan tentang habis-habisan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 06 MEI 2012

Tiada ulasan: