TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

06 Mei 2012

MANGSA KEBAKARAN BERSYUKUR TERIMA SUMBANGAN

Wartawan Sinar Harian

LEDANG – “Saya bercadang menggunakan wang ini untuk membeli kelengkapan rumah seperti peralatan elektrik dan bakinya akan disimpan,” kata mangsa kebakaran rumah pada 25 Februari lalu.

Azlan Ali, 40, dari Kampung Sialang, Tangkak melahirkan rasa syukur dan gembira apabila menerima sumbangan ihsan sebanyak RM5,000 dari SME Bank yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Program Tanggungjawab Korporat SME Bank dan penyerahan sumbangan 30 komputer serta hamper kepada komuniti Parlimen Pagoh di Balai raya Kampung Kurnia Sakti, Kundang Ulu dekat sini, kelmarin.

Menurutnya, dia tidak menyangka akan menerima sumbangan berkenaan dan terkejut apabila dimaklumkan oleh ketua kampung, Mohd Yusof Ahmad, kira-kira seminggu lalu.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menghilang rasa sedih yang masih ada dalam diri saya, walaupun insiden ini sudah pun berlalu dua bulan lalu.

“Dalam kejadian ini juga, saya tinggal sehelai sepinggang kerana ketika kejadian tiada di rumah membawa isteri dan anak-anak keluar makan malam,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia sekeluarga kini menyewa rumah di Taman Sialang dengan kadar sewaan RM300 sebulan.

Azlan berkata, walaupun agak sukar menerima insiden yang berlaku tetapi dia bersyukur kerana ramai jiran tetangga yang prihatin dan sanggup menghulurkan bantuan wang tunai dan barangan keperluan.

“Seminggu selepas kejadian, saya membuat permohonan rumah baru bagi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Baitulmal dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

“Sehingga kini saya masih menunggu jawapan permohonan ini dan berharap mendapat kelulusan dalam waktu terdekat,” katanya.

Azlan juga bercadang untuk membina rumah baru di tapak rumah lama yang musnah terbakar tempoh hari kerana ia adalah satu-satunya tanah pusaka tinggalan arwah kedua-dua ibu bapa yang masih ada.

“Saya mahu memiliki rumah sendiri dan menyediakan rumah yang selesa buat isteri dan dua anak,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 06 MEI 2012

Tiada ulasan: