PENGUNJUNG SETIA

29 Mei 2012

MB YAKIN KEUPAYAAN POLIS

Wartawan Sinar Harian

MB yakin keupayaan polis
Abdul Ghani (empat,kiri) selepas merasmikan Program Desa Selamat anjuran
Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), di Dewan Jubli Intan Tangkak semalam.
 
LEDANG – Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yakin dengan keupayaan dan usaha yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dapat menurunkan kadar jenayah negeri ini.

Menurutnya, sehingga kini, kadar jenayah jalanan di negeri ini menurun kepada paras 44 peratus , manakala indeks jenayah turun pada paras 11 peratus.

“Kejayaan ini membantu meletakkan negara pada paras ke-18 negara terselamat diduduki di dunia menerusi penilaian antarabangsa.

“Saya juga tidak mahu lagi negeri ini dianggap tidak selamat seperti yang didakwa oleh pihak tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Desa Selamat anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), di Dewan Jubli Intan Tangkak di sini, semalam.

Hadir sama Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Abdul Ghani berkata, 70 peratus daripada jenayah indeks di Johor disumbangkan di lokasi panas dalam Iskandar Malaysia membabitkan daerah Johor Bahru dan Kulaijaya.

Bagaimanapun, dalam senario tersebut kerajaan tetap prihatin dengan memberikan tumpuan ke daerah di luar wilayah berkenaan.

“Langkah ini bertujuan menurunkan jenayah indeks ke tahap lebih rendah dan menjadikan Johor lebih selamat,” katanya.

Tambah beliau, Program Desa Selamat memberi tumpuan di kawasan kampung dan luar bandar untuk merapatkan hubungan antara pihak berkuasa dan masyarakat dalam meningkatkan kesedaran untuk mengurangkan jenayah menerusi kawalan sosial yang sememangnya wujud di luar bandar berbanding di bandar.

SUMBER: SINAR HARIAN, 27 MEI 2012

Tiada ulasan: