TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

01 Mei 2012

TERPEROSOK BAWAH LORI, WARGA EMAS MAUT SETELAH KERETA TERBABAS

Wartawan Sinar Harian

Terperosok bawah lori, warga emas maut setelah kereta terbabas
Anggota Bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mayat Ho Seng yang tersepit dan terperosok di bawah lori yang dirempuhnya

LEDANG – Gara-gara mengantuk, seorang warga emas maut dalam keadaan mengerikan apabila terlibat dalam kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dengan lori di Kilometer 6.5 Jalan Parit Bunga-Sungai Mati di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi, Tan Ho Heng @ Soh Ho Heng, 74, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan yang lain.

Pemandu lori, Mohd Yasin Ali, 44, berkata, dia bertolak dari Batu Pahat pada jam 4 pagi untuk menghantar barang ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, sebelum kejadian dia berasa pelik apabila melihat kereta yang dipandu mangsa berada di laluan bertentangan, sedangkan keadaan jalan raya lengang dan tiada kenderaan lain.

“Kereta itu dipandu laju dan saya tidak sempat mengelaknya .

“Saya turun daripada lori dan terkejut melihat kereta itu sudah terperosok di bawah lori dan kemudiannya menghubungi pihak polis,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu.

“Mangsa memandu kereta bersendirian, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Beruang Melaka.

“Mangsa yang memandu kereta jenis Honda Civic telah memasuki lorong kanan sebelum merempuh sebuah lori yang sarat membawa muatan barangan runcit di laluan bertentangan,” katanya.

Akibat rempuhan itu, kereta mangsa termasuk di bawah lori dan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

“Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Ledang dan Muar terpaksa mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya,”katanya.

Tambahnya, pemandu dan kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan di balai polis berhampiran.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 01 MEI 2012
 

Tiada ulasan: