TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

23 Mei 2012

1,711 DAPAT DURIAN RUNTUH

Tahir Mohd. Taat (kiri) menyerahkan replika cek kepada wakil Felda Maokil 1 pada Majlis Perasmian Penyampaian Insentif Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad di Felda Seri Ledang, Johor, baru-baru ini. 
 
LEDANG 22 Mei - Seramai 1,711 peneroka di Parlimen Pagoh dan Ledang menerima durian runtuh berjumlah RM25.8 juta pada Majlis Perasmian Penyampaian Insentif Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB) di Dewan Terbuka Felda Seri Ledang dekat sini baru-baru ini.

Habuan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Mohd. Taat yang disaksikan Pengurus Besar Felda Wilayah Segamat, Kasimon Salleh.

Durian runtuh berjumlah RM25.8 juta itu melibatkan 349 peneroka Felda Moakil 1, Felda Moakil 2 (372), Felda Bukit Serampang (400), Felda Seri Ledang (316 ), Felda Lenga (220) dan Felda Parit Haji Idris (54).

Kasimon melahirkan harapan agar peneroka tidak menjual saham yang diberikan bersama insentif itu kerana Felda memberi keuntungan setiap tahun selain meminta mereka tidak terpedaya dengan khabar angin mengatakan peneroka akan kehilangan kebun dan geran dengan penyenaraian FGVH.

"Maklumat ini tidak benar kerana ia helah pihak tertentu dalam usaha mengurangkan keyakinan peneroka kepada kerajaan khususnya Felda," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Mei lalu mengumumkan mengenai durian runtuh RM15,000 kepada setiap keluarga peneroka termasuk saham berikutan penyenaraian FGVHB.

Najib berkata, pemberian itu melibatkan tiga fasa iaitu setiap ketua keluarga akan menerima RM5,000 melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM563.715 juta, jumlah sama akan diagihkan kepada isteri peneroka sebagai mengiktiraf peranan golongan tersebut dan fasa ketiga melibatkan generasi kedua Felda.

Sementara itu, Tahir turut mengingatkan peneroka supaya menggunakan wang tersebut secara berhemat untuk kegunaan keluarga masing-masing kerana pemberian insentif merupakan hadiah kerajaan kepada peneroka Felda supaya mereka boleh menikmati kehidupan lebih selesa.

"Oleh itu, peneroka seharusnya memberikan sokongan penuh kepada kerajaan untuk terus mentadbir negara pada masa akan datang," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 MEI 2012

Tiada ulasan: