PENGUNJUNG SETIA

30 Mei 2012

WARGA EMAS MANGSA AMUKAN GADIS


LEDANG: Hasrat sepasang suami isteri menikmati makan tengah hari bersama, bertukar tragedi apabila seorang gadis mengamuk bersenjatakan parang, menyebabkan warga emas itu terbunuh, manakala isterinya parah ditetak di kepala.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 pagi di Kampung Parit Kerinci dekat Bukit Gambir, mangsa Mohd Revuan @ Mohd Reduan Haron, 73, yang parah ditetak di kepala, badan serta putus satu jari mati ketika dikejarkan ke Hospital Melaka.

Isterinya, Juriah Dimiyati @ Demyati, 61, pula berlumuran darah akibat parah ditetak di kepala dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.

Juriah berkata, kejadian berlaku ketika beliau bersama suaminya berada di rumah, manakala semua anak mereka keluar bekerja.

"Ketika itu, saya sedang menyiapkan bahan untuk memasak makan tengah hari di dapur, manakala suami pula sedang berehat di depan rumah.

"Tiba-tiba, kami dikejutkan dengan hentakan kuat pada pintu akibat ditendang dan saya bergegas meninjau sebelum melihat gadis terbabit berada di depan rumah kami sambil menjerit.

"Gadis itu mendakwa dia dirogol abang iparnya dan kata-katanya itu menyebabkan saya memarahinya tetapi tidak diendahkan sebelum dia mencapai dua bilah parang dari ruang rumah kami lalu melibasnya sambil terus menjerit," katanya.

Juriah berkata, melihat keadaan semakin tidak terkawal, beliau dan suami cuba merampas parang daripada tangan gadis itu tetapi gagal, malah dia terus melibas serta menetaknya dan suami bertalu-talu.

Katanya, beliau yang terkena tetakan di kepala sempat merangkak ke luar rumah sambil menjerit meminta pertolongan jiran.

"Saya sempat melihat suami ditetak pada bahu kiri hingga terjatuh berlumuran darah tetapi gadis itu berterusan menyerangnya hingga kakaknya bersama beberapa jiran tampil membantu.

"Jiran cuba membantu suami dengan menutup kesan tetakan pada badannya menggunakan kain selimut bagi menghentikan darah sementara menunggu ambulans datang dan gadis itu dibawa pulang ke rumah mereka yang berselang kira-kira tiga rumah dari kediaman saya," katanya.

Seorang anak lelaki mangsa yang enggan dikenali berkata, jenazah bapanya dihantar untuk bedah siasat di Melaka sebelum dibawa pulang untuk dikebumikan lewat petang semalam.

Difahamkan, suspek dari Kampung Sawah Ring, tinggal bersama kakak dan abang iparnya yang masing-masing bertugas sebagai guru, sebelum itu dikatakan cuba menceroboh dua lagi rumah jiran di kawasan itu tetapi tidak berjaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Harun Idris, berkata suspek berusia 22 tahun sudah ditahan polis yang dikejarkan ke kampung terbabit sejurus mendapat maklumat kejadian itu.

"Suspek didakwa mengalami kemurungan sejak empat tahun lalu selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tidak pernah dibawa mendapatkan rawatan pakar di hospital berhubung masalah itu," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 30 MEI 2012

Tiada ulasan: