PENGUNJUNG SETIA

28 Mei 2012

UBAH PERSEPSI JOHOR TIDAK SELAMAT

ABDUL Ghani Othman menyampaikan Anugerah SRS Terbaik Negeri Johor kepada Jamel Ahmad yang mewakili SRS Kawasan Rukun Tetangga Kampung Dato' Abd. Rahman Yassin, Kluang pada Program Desa Selamat di Dataran Ledang, Tangkak, Johor, kelmarin. 
 
LEDANG 27 Mei - Dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa Johor tidak selamat perlu diubah berdasarkan indeks jenayah di negeri ini telah menurun 40 peratus sejak empat tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, dakwaan seumpama itu amat membimbangkan kerana ia juga meninggalkan kesan negatif kepada industri pelancongan.

"Saya percaya usaha yang dibuat kerajaan untuk meningkatkan tahap keselamatan akan berupaya mengurangkan lagi kadar jenayah selain kawalan sosial yang dilakukan pelbagai lapisan masyarakat itu sendiri. Menerusi penilaian antarabangsa, kita (Malaysia) adalah antara 18 negara paling selamat di dunia dan saya tidak mahu Johor dirujuk sebagai tempat penuh dengan jenayah.

"Walaupun 70 peratus jenayah indeks di Johor disumbangkan di kawasan panas dalam Iskandar Malaysia membabitkan daerah Johor Bahru dan Kulaijaya, kerajaan tetap prihatin dengan memberikan tumpuan ke daerah di luar wilayah ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Desa Selamat di Dataran Ledang, Tangkak, dekat sini semalam.

Turut hadir ialah Naib Pengerusi Kebangsaan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.

Sementara itu Mohd. Mokhtar berkata, pihaknya akan terus berusaha untuk mengurangkan kadar jenayah di negeri ini bagi melenyapkan terus persepsi berkenaan.

Jelasnya, antara program diatur ialah pihak polis akan terbabit secara terus dengan masyarakat bagi mendapatkan maklumat seterusnya menghindari wujudnya kegiatan jenayah.

Dalam pada itu, Lam Thye menyeru masyarakat desa supaya menjadi ahli MCPF sebagai 'mata dan telinga' pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan jenayah di kawasan masing-masing.

"Walaupun banyak pencapaian dalam mengurangkan jenayah, cabaran yang paling besar terpaksa dihadapi polis ialah cara meyakinkan orang ramai untuk menerima kadar penurunan jenayah dan mengatasi rasa takut terhadap jenayah," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 MEI 2012

Tiada ulasan: