PENGUNJUNG SETIA

05 Mei 2012

TUMPU TRANSFORMASI LUAR BANDAR

Wartawan Sinar Harian

muhyiddin
Muhyiddin diiringi Mohd Radzif menyampaikan sumbangan komputer kepada wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Parlimen Pagoh, semalam
 
LEDANG – Kerajaan sedang giat menjalankan program transformasi luar bandar ke seluruh negara dalam usaha memajukan kawasan itu sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi utama yang seimbang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program tersebut juga untuk melengkapkan Program Transformasi Nasional yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak.

Menurutnya, kerajaan melalui dasarnya sejak sekian lama sudah memberikan tumpuan untuk melengkapkan pembangunan infrastruktur meliputi bekalan elektrik, air, kemudahan asas dan kemudahan sosial yang lain di kawasan luar bandar.

“Tetapi banyak lagi usaha yang kita (kerajaan) boleh lakukan untuk melihat kampung seperti Kampung Kurnia Sakti, Kundang Ulu di sini menjadi lebih maju.

“Dengan sebab ini, kerajaan mahu melihat pelbagai program dan aktiviti yang boleh menambah kesejahteraan dan menambah pendapatan penduduk dilaksanakan melalui penglibatan bersama agensi korporat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program tanggungjawab korporat SME Bank dan penyerahan sumbangan 30 komputer serta hamper kepada komuniti Parlimen Pagoh di Balai Raya Kampung Kurnia Sakti, Kundang Ulu dekat sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang, Tahir Mohd Taat dan Ahli Dewan Negara, Senator Noriah Mahat.

Muhyiddin berkata, beliau memuji usaha SME Bank menjalankan tanggungjawab sosial korporat di Kampung Kurnia Sakti kerana dapat membantu merancakkan usaha kerajaan memajukan kawasan luar bandar.

Jelas beliau, kerajaan tidak mahu lagi kawasan luar bandar hanya sebagai kawasan pertanian, sedangkan ia mempunyai keupayaan untuk dibugarkan dan dibangunkan dengan nilai yang lebih besar daripada apa yang ada sekarang.

“SME Bank turut menyediakan kemudahan pinjaman kewangan kepada penduduk luar bandar yang berminat menceburi bidang industri kecil dan sederhana (IKS).

“Saya berharap, apa juga bentuk pinjaman yang disediakan dan bantuan yang diberikan akan dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk di sini,” katanya.

Katanya lagi, perkara tersebut harus diberikan tumpuan dan jangan berfikir apabila tinggal di luar bandar perlu sentiasa dalam keadaan kekampungan.

“Zaman sudah berubah, kawasan kampung perlu dibangunkan menjadi nilai yang lebih besar,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 05 MEI 2012

Tiada ulasan: