PENGUNJUNG SETIA

03 Mei 2012

RAKYAT JANGAN TERPEDAYA

NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN

Abdul Ghani mencuba basikal BMX sebelum merasmikan penutupan Karnival Kayuhan 1Malaysia di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir.
LEDANG - Rakyat Johor diingatkan supaya tidak terpedaya dengan taktik melampau pihak tertentu dalam usaha untuk merampas pemerintahan negara.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, mereka tergamak melakukan pelbagai cara dalam merealisasikan impian mereka dan terbaru melalui demonstrasi perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu di Kuala Lumpur.

“Demonstrasi ini hanya bertujuan membangkit perasaan marah, benci dan memporak-perandakan negara.

“Pendekatan melampau tersebut adalah satu strategi pihak tertentu untuk mendapatkan kuasa, walaupun terpaksa mengorbankan negara,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Kayuhan 1Malaysia di dataran Bukit Gambir, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M. Asojan; Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee; Adun Bukit Serampang, Tahir Taat dan Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin.

Abdul Ghani berkata, rakyat perlu menolak pendekatan itu dan bersatu bagi memastikan negara kekal makmur

Sementara itu, Asojan yang juga Adun  Gambir mengingatkan rakyat agar tidak terikut-ikut dengan rentak pembangkang yang gilakan kuasa untuk memerintah negara.

Katanya, kesejahteraan serta keharmonian sedia ada perlu dipelihara dan hanya melalui perpaduan dapat mewujudkan politik yang stabil dan menjamin perkembangan ekonomi.


Mengenai program tersebut, beliau berkata, seramai 600 orang menyertainya yang diharap dapat diteruskan pada masa depan kerana ia menjadi tempat mengeratkan silaturahim.

Asojan berkata, secara tidak langsung juga program tersebut dapat mengeratkan perpaduan dengan penglibatan pelbagai lapisan kaum dan peringkat umur.

SUMBER: SINAR HARIAN, 3 MEI 2012

Tiada ulasan: