PENGUNJUNG SETIA

30 Mei 2012

80 PERMOHONAN BANTUAN AKAN DISELESAI

GOH Tee Tee (tengah) diiringi Nurhayati Abd. Kadir (kiri) menyampaikan bantuan kepada Ramlah Hashim di Pejabat JKM Ledang, Johor, baru-baru ini. 
 
LEDANG 29 Mei - Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Ledang akan menyelesaikan 80 lebihan permohonan bantuan kewangan sekitar daerah ini sebelum hujung tahun ini.

Pegawainya, Nurhayati Abd. Kadir berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada bilangan permohonan yang terlepas pandang sebelum ini dan ia memerlukan kerjasama daripada wakil rakyat dan pemimpin setempat untuk mengenal pasti individu berkelayakan supaya proses permohonan berjalan lancar.

"JKM Ledang proaktif dalam menangani masalah ini dan sehingga kini kita berjaya menyelesaikan 700 pemohonan tertunggak," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian Bayaran Kewangan JKM kepada 20 penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, di sini baru-baru ini.

Bayaran tersebut disampaikan oleh ADUN Tangkak, Goh Tee Tee. 

Dalam perkembangan lain, Nurhayati berkata, setakat ini seramai 3,572 penerima dari seluruh daerah Ledang menerima enam jenis bantuan yang diberikan JKM.

Sementara itu, Tee Tee meminta masyarakat di sini mengubah persepsi bahawa apabila seseorang mencapai usia warga emas, mereka mesti dapat bantuan kewangan JKM kerana ia menimbulkan rasa tidak puas hati apabila permohonan ditolak.

"JKM terlebih dahulu akan membuat siasatan awal mengenai latar belakang pemohon kerana terdapat mereka yang mempunyai pendapatan daripada hasil kebun. Setelah pasti pemohon berkenaan tidak mempunyai pendapatan, JKM dengan segera meluluskan permohonan. 

"Saya mahu pemohon bersikap jujur semasa mengemukakan permohonan supaya mereka yang layak sahaja mendapat bantuan JKM," katanya lagi.

Penerima bantuan, Ramlah Hashim, 70, terharu apabila permohonan mendapatkan bantuan warga emas sebanyak RM300 sebulan berjalan lancar dan tidak perlu menunggu lama.

"Wang ini akan digunakan untuk menyara perbelanjaan bulanan kerana saya tidak mempunyai pendapatan. Kini, saya menumpang di rumah anak perempuan di Taman Tangkak Jaya dengan sewaan bulanan RM 250 sebulan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 MEI 2012

Tiada ulasan: