TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

17 Mei 2012

KATIL GANTI TILAM NIPIS


Oleh Hai Rozzaman Jalal


LEDANG: Kehidupan harian sepasang suami isteri warga emas di Kampung Anjung Batu, Tangkak di sini, kini lebih selesa apabila mereka mampu tidur di atas katil selain diberikan bantuan kerusi roda, baru-baru ini.

Sebelum ini, Samat Marhaban, 82 dan isteri, Tah Atan, 68, hanya tidur beralaskan tikar dan tilam nipis di atas lantai dan pada masa sama, pergerakan Tah terbatas akibat sakit kaki dialaminya.

Penyelia Perhubungan Parlimen Kemas Ledang, Norhiah Mohd Said berkata, keadaan sekeliling rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) didiami pasangan itu sejak 2000 pula dipenuhi barangan lusuh dan terpakai yang dikutip menjadikannya semak serta tidak terurus.

"Sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Masyarakat Daerah Ledang, Pergerakan Pemuda dan Wanita Umno Bahagian Ledang serta Kelab Sepak Takraw Seri Tanjung, Tangkak yang simpati dengan keadaan warga emas berkenaan tampil membersihkan kediaman terbabit.

"Selain membersih, kami turut membasuh bahagian dalam rumah serta mengecatnya," katanya.

Hadir sama Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tangkak, Goh Tee Tee; Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ledang, Zaidi Abd Majid dan Ketua Umno Cawangan Anjung Batu, Abu Othman.

Sementara itu, Hamim berkata, pihaknya turut menyumbangkan sebuah kerusi roda serta membaik pulih pendawaian elektrik rumah berkenaan.

"Bagi memberi keselesaan kepada pasangan ini, Goh turut menyumbangkan katil, tilam, tikar getah dan perabot untuk kegunaan mereka.

"Pada masa sama, pasangan ini turut menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Johor (Maij) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 setiap bulan sejak lima tahun lalu," katanya.

Hamim berharap, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan di daerah berkenaan sedia tampil membantu sekiranya terdapat warga emas atau golongan kurang berkemampuan.

SUMBER: HARIAN METRO, 17 MEI 2012

Tiada ulasan: