TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

11 Mei 2012

LEBIH 170 KOMPUTER JUDI DIRAMPAS

HARON Idris menunjukkan sebahagian daripada komputer yang dirampas dalam beberapa serbuan ke atas kafe siber yang beroperasi tanpa lesen sekitar Ledang, di Johor, semalam.

LEDANG 10 Mei - Lebih 170 unit komputer bernilai kira-kira RM350,000 yang digunakan untuk aktiviti perjudian dirampas dari lima premis di daerah ini dalam operasi selama tiga hari yang berakhir 2 Mei lalu.

Operasi membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang serta Majlis Daerah Tangkak (MDT) itu juga mendapati kesemua lima kafe siber tersebut beroperasi tanpa lesen dan menawarkan kegiatan perjudian kepada pengunjung termasuk pelajar.

Pemilik premis disyaki menggunakan cip khas bagi menukar permainan video kepada permainan berbentuk perjudian untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Haron Idris berkata, serbuan pertama dilakukan pukul 9.15 malam di sebuah premis dan merampas 48 unit komputer dan menahan seorang lelaki berusia 47 tahun di Jalan Suria 2 pada 30 April lalu.

"Dalam serbuan kedua pukul 11.15 malam di Jalan Paya Mas, polis merampas 23 unit pemprosesan pusat (CPU), 23 konsol permainan video serta 21 monitor komputer dan menahan seorang penjaga premis berusia 25 tahun untuk membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kemudian meneruskan operasi pada 1 Mei lalu dengan melakukan pemeriksaan kira-kira pukul 8 malam di sebuah kafe siber di Jalan Muar.

Ia diikuti dua lagi premis pada 2 Mei lalu, masing-masing di Taman Paya Mas dan Taman Serom Utama dekat Sungai Mati dan merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian selain dua lelaki berusia 25 dan 26 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

"Kita percaya semua premis ini menawarkan kegiatan perjudian kepada pelanggan dan komputer yang digunakan boleh ditukar untuk menjadikannya mesin judi dengan menggunakan cip khas. Mereka juga beroperasi tanpa lesen," katanya.

Beliau percaya premis-premis tersebut beroperasi sejak hujung tahun lalu dengan menawarkan kegiatan perjudian tersebut.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 MEI 2012

Tiada ulasan: