Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my
Rap
KETANDUSAN bakat baru untuk meneruskan warisan tradisi Marhaban mendorong sekumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka kumpulan El-Hikmah tampil dengan album 'Marhaban Ya Nurulaini'.
Biarpun berdepan dengan risiko kelembapan penjualan album komersial sekali gus menyebabkan kesuraman industri seni suara, kumpulan El-Hikmah tidak melihatnya sebagai halangan untuk berdakwah dan memperjuangkan Marhaban yang popular di selatan tanah air.
Dengan bernaung di bawah label Hijjaz Records Sdn Bhd (HRSB), mereka yakin kemunculan Marhaban Ya Nuru laini'di arus perdana akan mencipta wadah baru untuk menyebar luaskan lagi khazanah bangsa yang tidak ternilai harganya itu.
Kumpulan El-Hikmah yang ditubuhkan akhir tahun lalu dianggotai enam pemuda berasal dari Muar, Johor iaitu Md Fadli Yusof, 27; Mohd Halim Paboh, 24; Muhamad Hakim Abd Rahman, 24; Mohd Solehan Yunus, 25; Fahrudin Jami ngan, 26, dan Anuarudin Md Som, 25, yang bergiat aktif dalam persembahan Marhaban sekitar Johor.
Menyorot latarnya, kumpulan ini pernah menjadi naib juara dalam Festival Nasyid Peringkat Negeri Johor 2006 menerusi lagu Keunggulan Ilmu yang dicipta Syazira.
Selaku ketua kumpulan, Fadli berkata, El-Hikmah bertekad menyemarakkan lagi industri nasyid dengan membawa kon sep Marhaban.
“Jika sebelum ini Marhaban hanya menggunakan vokal secara beramai-ramai, namun perubahan perlu dilakukan untuk menarik golongan muda meminati Marhaban. Itulah sebabnya kami memasukkan elemen muzik seperti perkusi dalam album ini.
“Kami buat semua ini kerana ingin menarik golongan muda meminati Marhaban, memandangkan kini hanya segelintir saja anak muda seperti kami yang tahu bermarhaban.
“Malah tidak mustahil 10 tahun akan datang kita tidak akan mendengar lagi Marhaban di dalam majlis keagamaan kerana mereka yang tahu bermarhaban terlalu sedikit. Kami me ngambil inisiatif ini supaya warisan zaman berzaman ini tidak hilang begitu saja,” katanya ketika berkunjung ke Balai Berita baru-baru ini.
Bagi Halim pula, bacaan Marhaban yang ditampilkan dalam album ini sama seperti dialunkan masyarakat, tetapi di modenkan lagunya bagi disesuaikan dengan kehendak semasa yang menyelitkan elemen komersial.
“Alhamdulillah sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan sejak berada di pasaran pertengahan April lalu. Sasaran album ini untuk semua golongan yang mencintai Marhaban terutamanya pelajar sekolah dan institusi pe ngajian tinggi.
“Sebelum ini ada yang tidak tahu membezakan antara Selawat dengan Marhaban. Dengan adanya album ini, orang akan menilai perbezaannya dan mencintai khazanah bangsa ini,” katanya.
Album yang diterbitkan bersama oleh dua anggota Hijjaz iaitu Faizal Osman dan Munif Ahmad ini mengandungi sembilan koleksi Marhaban popular yang disampaikan dalam melodi berbeza berserta dua bacaan Rawi dan sebuah lagu nasyid berjudul Keunggulan Ilmu, ciptaan Syazira.
Kata Hakim, album yang mengambil masa dua bulan untuk disiapkan ini menjalani proses rakaman di studio HRSB yang terletak di Kota Damansara. Selain dijual secara komersial di kedai biasa, album ini juga dijual secara online menerusi laman web www.hijjazrecords.com.my.
“Kekuatan album ini bukan saja terletak pada kualiti dan vokalnya yang unik, malah muziknya yang diiringi dengan perkusi selain ditunjangi nama perintis kumpulan nasyid kontemporari, Hijjaz itu sendiri.
“Kami harap kehadiran El-Hikmah di persada seni suara tanah air diterima ramai dan dapat bergerak bersama-sama menyebarkan dakwah menerusi kesenian. Walaupun muzik yang dibawakan menjurus kepada golongan tertentu, tetapi situasi sekarang menunjukkan kelainan dan ia diterima ramai apabila digandingkan dengan elemen tertentu seperti rock dan rap.
“Jika kena caranya, tidak mustahil kita akan lihat selepas ini nasyid akan digandingkan dengan irama tradisional seperti zapin dan keroncong mengikut permintaan semasa,” katanya.
Sumber: Harian Metro, 30 Mei 2008