PENGUNJUNG SETIA

22 Mei 2008

PENDUDUK KECEWA PBT ABAI TUGAS

Selatan: Penduduk kecewa PBT abai tugas


MUAR: Penduduk Kampung Tanjung Gading, di sini, mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan perkhidmatan mengangkut sampah dan membersih longkang di kawasan kediaman mereka bagi mengelak daripada kekotoran dan pembiakan nyamuk.

Perkhidmatan itu juga selaras dengan langkah PBT mengenakan cukai harta kepada mereka sejak dua tahun lalu.

Seorang pembayar cukai, Mahat Kassim, 70, berkata penghuni kediaman kawasan berkenaan dikenakan cukai harta berikutan langkah Majlis Perbandaran Muar (MPM) memperluaskan kawasan pengurusannya membabitkan Pekan Parit Bunga hingga ke Kesang bersempadan Sungai Rambai/Melaka.


Beliau berkata, sebelum pembinaan projek Jambatan Kedua yang bermula dari Pekan Parit Bunga itu, penduduk tidak dikenakan cukai harta tetapi hanya membayar cukai tanah kepada Pejabat Tanah Daerah (PTD).

"Walaupun, MPM mengenakan cukai harta kepada penduduk, namun sehingga kini, PBT masih tidak menyediakan perkhidmatan mengangkut sampah dan membersih longkang serta saliran sebagaimana dilakukan dalam kawasan pekan dan perumahan.

"Kegagalan PBT menyediakan perkhidmatan itu mengecewakan penduduk kerana mereka seolah-olah dianaktirikan daripada mendapat manfaat terhadap cukai yang di bayar," katanya, di sini, kelmarin.

Beliau mendakwa, disebabkan PBT tidak menyediakan perkhidmatan mengangkut sampah sarap, menyebabkan ada penduduk yang membuang sampah di luar kawasan termasuk di bawah jejantas berdekatan.

Suri rumah, Enab Mohd Nor, 72, berkata beliau yang tinggal di rumah papan di Kampung Batu 3, Tanjung Gading dikenakan cukai harta RM80 setahun dan terpaksa meminta bantuan anaknya bagi menjelaskan cukai itu supaya tidak dikenakan tindakan.

Pesara Guru, Mustafa Long, 68, berkata bagi mengelak kawasan rumah dicemari sampah sarap, beliau terpaksa mengorek lubang untuk menanam sampah sarap di belakang rumahnya atau membakarnya.

Sumber: Berita Harian, 22 Mei 2008

Tiada ulasan: