PENGUNJUNG SETIA

13 Mei 2008

JPS DAKWA HAKISAN PUNCA JETI RUNTUH

JPS dakwa hakisan punca jeti runtuh

Oleh Junita Mat Rasid

MUSNAH: Jasni Tahir, 32, menunjukkan jeti konkrit bernilai RM160,000 di Kampung Pengkalan Kota yang runtuh secara tiba-tiba malam kelmarin.



MUAR: Pihak berkaitan dalam pembinaan jeti dan tebing di Kampung Pengkalan Kota, yang runtuh hanya dalam tempoh tiga minggu selepas tebing Sungai Muar dekat pekan Panchor mengalami nasib serupa, menafikan wujud unsur penyelewengan dalam kerja pembinaannya.

Pejabat Daerah Ledang serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor mengesahkan kejadian itu berpunca daripada masalah pergerakan bawah tanah dan hakisan iaitu sama dengan punca kes tebing runtuh di pekan Panchor.

Malah, JPS yang bertanggungjawab dalam kerja pembinaan jeti itu menafikan jeti itu runtuh akibat kerja pembinaan yang tidak sempurna sebaliknya menyatakan setiap projek JPS dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan.


Pegawai Daerah Ledang, Asmail Kadir, berkata hasil laporan awal yang diterima pihaknya mendapati kejadian itu tidak mempunyai unsur penyelewengan sebaliknya berpunca daripada masalah pergerakan bawah tanah dan hakisan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan membincangkan kes itu pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan bagi memastikan JPS mengambil tindakan segera, termasuk menjalankan kajian sebelum kerja membaik pulih dijalankan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam Jumaat lalu, jeti konkrit di Kampung Pengkalan Kota, yang dibina pada kos RM160,000, termasuk kerja membina benteng, runtuh hanya selepas tujuh bulan digunakan. Dalam kejadian itu, sebahagian tebing sungai berdekatan jeti berkenaan turut terhakis.

Ini kali kedua jeti konkrit di kampung itu runtuh selepas kejadian pertama pada Februari tahun lalu. Jeti konkrit berharga RM55,000 itu runtuh hanya selepas lima bulan ia siap dibina dan digunakan, dipercayai akibat hakisan selepas banjir teruk melanda kawasan itu akhir 2006.

Kejadian terbaru itu juga adalah kes kedua membabitkan tebing Sungai Muar runtuh apabila pada 20 April lalu, jalan sepanjang kira-kira 100 meter di tebing sungai dekat pekan Panchor yang turut menjadi tapak pasar malam, runtuh menyebabkan sembilan kenderaan milik peniaga dan pelanggan tertimbus dalam runtuhan itu.

Asmail berkata, kesesuaian pembinaan jeti di tapak asal itu perlu dikaji semula bagi memastikan kejadian jeti runtuh tidak berulang, sekali gus memastikan keselamatan pengguna terutamanya nelayan dan pemancing.

Sementara itu, Pengarah JPS Johor, Chong Chee Han, yang juga menegaskan kejadian berpunca daripada masalah pergerakan tanah berkata, pihaknya akan membuat pemeriksaan lanjut di kawasan itu sebelum kerja membaiki jeti dan tebing sungai itu dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihaknya belum dapat membuat anggaran kos untuk kerja pembaikan itu.

"JPS akan kaji dan siasat untuk mencari penyelesaian kes ini. Setakat ini, kita dapati kejadian itu disebabkan masalah pergerakan bawah tanah sehingga menyebabkan berlaku tanah runtuh," katanya.

Beliau turut berkata, setiap projek JPS dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan selain pihaknya menjalankan pemantauan kerja pembinaan dari semasa ke sama.

Tinjauan Berita Harian mendapati kakitangan JPS diketuai Pegawai JPS Daerah, Rehan Ahmad membuat pemeriksaan di lokasi jeti runtuh itu. Turut kelihatan di lokasi runtuhan, beberapa kakitangan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor.

Sumber: Berita Harian 13 Mei 2008

Tiada ulasan: