PENGUNJUNG SETIA

20 Mei 2008

TINDAKAN KELIRUKAN AHLI

Tindakan kelirukan ahli

Oleh JAAFAR AHMAD dan SUFFIAN ABU BAKAR

JOHOR BAHRU 19 Mei - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shahrir Abdul Samad menyifatkan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar UMNO sebagai satu mesej yang mengelirukan ahli-ahli UMNO.

Menurutnya, tindakan bekas Perdana Menteri itu bercanggah dengan konsep UMNO yang mengutamakan musyawarah dalam menyelesaikan masalah parti.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, tindakan tersebut boleh melemahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta menguntungkan parti pembangkang.

Beliau melahirkan kebimbangan kemungkinan langkah itu dituruti oleh Ahli Parlimen UMNO.

"Kita tidak tahu apa kesannya nanti kerana jika Ahli Parlimen UMNO keluar BN dan menjadi Ahli Parlimen bebas, adakah mereka akan menyokong kerajaan atau pembangkang di Dewan Rakyat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau memberitahu satu laman web bahawa wujud kemungkinan pilihan raya baru terpaksa diadakan jika banyak wakil rakyat UMNO mengumumkan mereka keluar parti.

Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru berkata, beliau tidak nampak sesuatu yang signifikan dapat dicapai oleh Dr. Mahathir menerusi tindakannya keluar parti.

Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru itu, sekiranya bekas Presiden UMNO itu benar-benar berhasrat mengukuhkan parti, beliau sepatutnya bersuara dari dalam parti dan bukan melakukannya di luar parti.

Sementara itu di Muar, Timbalan Ketua UMNO Ledang, Ir. Hamim Samuri menyifatkan tindakan Dr. Mahathir itu adalah haknya dan hanya beliau yang tahu punca dan alasan beliau berbuat demikian.

Katanya, walaupun Dr. Mahathir memberikan alasan beliau akan berada di luar parti selagi Abdullah memimpin UMNO, rakyat hanya melihat isu itu dari sudut 'orang luar'.

"Saya yakin masih ramai lagi ahli UMNO yang setia kepada parti dan tidak akan mengikut langkah yang diambil oleh Dr. Mahathir," katanya.


Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Mohd. Ismail Mohd. Shah pula berkata, beliau akan mendapatkan maklum balas daripada ahli akar umbi UMNO bahagian itu terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan mengenai tindakan Dr. Mahathir tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia 20 Mei 2008 (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: