PENGUNJUNG SETIA

29 Mei 2008

MUARA SG. MUAR BERLUMPUR

Muara Sg. Muar berlumpur

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR


PANGKALAN nelayan Kampung Kesang Laut didakwa menjadi tempat pembuangan lumpur di muara Sungai Muar di Muar.
- Gambar SUFFIAN ABU BAKAR




MUAR 28Mei - Lebih 300 nelayan di Kampung Kesang Laut dan Kampung Parit Karang di sini semakin tertekan akibat projek membuang lumpur dan mendalamkan muara Sungai Muar di kawasan perairan mereka, sejak awal tahun ini.

Walaupun keluhan mereka pernah disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 23 April lalu, namun ia masih tidak dapat diatasi, malah dipandang sepi oleh pihak berkuasa.

Projek mendalamkan muara Sungai Muar sepatutnya membuang sisa yang dikorek ke kawasan tengah laut yang lebih dalam iaitu paras air melebihi 36 meter.

Namun, apa yang berlaku ialah lumpur-lumpur itu dibuang menerusi tongkang besar yang dipanggil pantun di kawasan tangkapan ikan nelayan pantai di kedua-dua kampung itu yang hanya mempunyai kedalaman air antara 8 hingga 12 meter.

Pengerusi Persatuan Nelayan Muar, Mohd. Yusof Atan, 41, berkata, permasalahan itu sudah berulang kali disuarakan kepada pihak berwajib, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil, malah pantun-pantun tersebut masih membuang lumpur di kawasan itu.

"Kerja mendalamkan muara sungai itu dikesan oleh para nelayan sejak awal tahun ini dan pembuangan sisa yang dikorek termasuk lumpur, sampah, batu dan kayu itu dibuang sewenang-wenangnya.

"Kami pernah menghantar surat aduan kepada Jabatan Laut Daerah Muar pada awal Januari lalu, disusuli dengan salinan surat kepada Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan, namun tiada tindakan diambil.

"Surat susulan juga telah dihantar sekali lagi kepada Jabatan Laut bagi memaklumkan mengenai tumpahan minyak dan lumpur yang berlaku, tetapi masih tidak dianggap serius,'' katanya ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Kampung Kesang Laut, di sini hari ini.

Mohd. Yusof memberitahu, pada awal bulan lalu, beliau pernah menghantar surat aduan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman untuk mencadangkan supaya kerja mendalamkan muara sungai itu dihentikan.

Katanya, selepas itu, kerja-kerja mengorek itu dihentikan serta merta selama seminggu, namun ia kembali beroperasi seperti biasa dengan segala hasil korek itu dibuang di perairan sempadan Melaka-Muar iaitu di Merlimau.

"Namun, selepas kira-kira dua minggu, pantun-pantun yang berulang-alik melalui perairan ini kemudian dikesan membuang semula sisa korek itu di perairan cetek di tempat kami mencari rezeki," jelasnya.

Menurutnya, pantun yang mampu memuatkan kira-kira 1,000 tan bahan buangan itu dikesan beroperasi setiap hari tanpa mengira waktu, malah difahamkan, pada waktu malam, pantun itu masih beroperasi tanpa memasang lampu.

Keadaan itu, kata Mohd. Yusof, membahayakan para nelayan yang mungkin berhadapan risiko berlanggar dengan pantun terbabit berikutan cuaca gelap.

Tambahnya, pembuangan lumpur dan bahan buangan di perairan itu memberikan kesan terhadap habitat ikan dan ekosistem hidupan laut dan mengambil masa kira-kira lima tahun untuk pulih seperti biasa.

Selain itu, katanya lagi, pembuangan lumpur itu turut menjejaskan mata pencarian para nelayan apabila pukat mereka rosak apabila terlanggar lumpur serta batu yang dibuang di dasar perairan itu.

"Sehingga hari ini, kira-kira 45 kes pukat rosak membabitkan nelayan di dua kampung ini telah dilaporkan kepada pihak polis.

"Apa gunanya kerja mendalamkan muara sungai itu jika segala sisa buangan yang dikorek dibuang di tempat kami mencari rezeki,'' tegasnya.

Malah, kata Mohd. Yusof, pembuangan lumpur itu juga turut menjejaskan projek ternakan kupang yang diusahakan sekumpulan siswazah universiti tidak jauh dari perairan kampung itu.

Beliau juga kesal dan hairan kerana laporan demi laporan yang dibuat kepada pihak berwajib serta media tidak memberikan kesan terhadap kegiatan projek itu, malah pihak berkuasa, dakwanya, dilihat seperti bimbang untuk bertindak memantau projek tersebut.

Utusan Malaysia difahamkan, projek mendalamkan muara Sungai Muar itu sepatutnya selesai pada April lalu, namun ia terpaksa dilanjutkan sehingga Julai ini.

Berikutan kesuntukan masa melaksanakan projek itu, Mohd. Yusof tidak menolak kemungkinan ia menyebabkan sisa buangan dibuang di kawasan berdekatan bagi mempercepatkan projek.

Sumber: Utusan Malaysia Johor (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: