PENGUNJUNG SETIA

13 Mei 2008

SAWAH KERING MAKIN MENGECIL

Selatan: Sawah kering makin mengecil
Oleh Junita Mat Rasid

JAUH MATA MEMANDANG: Sawah padi di Kampung Sawah Ring, Bukit Gambir selepas dituai.



Penduduk Kampung Sawah Ring mahu kekal keindahan jelapang padi dengan atasi masalah pengairan, haiwan perosak

MUAR: Latar belakang Gunung Ledang dan kelibat burung berterbangan menjadikan kawasan tanaman padi di Kampung Sawah Ring, di Bukit Gambir, dekat sini satu pemandangan indah yang pastinya menarik hati sesiapa saja yang melalui Jalan Bukit Gambir-Gersik.

Keindahannya begitu menggamit hati sehinggakan orang luar dari kampung itu terutama pelancong asing yang melalui jalan itu sanggup memberhentikan kenderaan mereka di tepi jalan bagi menghayati pemandangan itu atau mengabadikannya menerusi lensa kamera.


Tidak keterlaluan dikatakan bahawa pemandangan sawah padi di kampung itu adalah antara pemandangan yang tidak ternilai umpama gambar lukisan dan sewajarnya ia terus dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang.

Kampung Sawah Ring memiliki kira-kira 250 hektar sawah padi yang diusahakan lebih 220 pesawah, manakala kira-kira 10 hektar lagi tanah sawah tidak dapat diusahakan dipercayai akibat masalah pengairan menyebabkan tanah kering dan tidak sesuai ditanam padi.

Nama Kampung Sawah Ring sebenarnya bermaksud Sawah Kering berikutan sawah di kawasan itu sering kering sehingga keluasan tanah sawah dikatakan semakin mengecil.

Berbanding 20 tahun hingga 30 tahun lalu, kawasan sawah padi itu sebenarnya semakin mengecil dan semakin banyak kawasan sawah diubah kepada kebun sayur atau tanaman sawit.

Seorang petani, Mazlan Miskiran, 36, berkata, petani sering mengalami masalah sawah padi yang kering apabila Pam Bekalan Air Sawah Ring dibuka menyebabkan penurunan paras air mengurangkan jumlah air yang dialirkan ke sawah padi.

Beliau mendakwa pam itu terpaksa dibuka terutamanya setiap kali hujan lebat bagi mengatasi masalah banjir di kawasan berhampiran.

Sehubungan itu, pihaknya mencadangkan supaya takungan lebih besar diadakan di kawasan itu bagi mengatasi masalah banjir kilat, sekali gus menangani masalah pengairan sawah padi.

"Masalah pengairan menyebabkan ada kawasan sawah yang tidak dapat diusahakan selain masalah rumpair dan serangan haiwan perosak," katanya.

Selain itu, katanya, petani kawasan itu juga menghadapi ancaman daripada kumpulan burung dikenali sebagai burung Panggling yang memakan batang padi dan merosakkannya.

Katanya, kehadiran burung daripada spesies dilindungi itu disedari sejak tiga tahun lalu dan jumlahnya kini dianggarkan lebih 100 ekor berbanding hanya beberapa ekor pada awal kemunculannya.

"Walaupun burung itu sebenarnya cantik kerana mempunyai badan yang agak besar berbanding bangau dan berwarna coklat kebiruan, ia sebenarnya adalah perosak tanaman padi di kawasan itu," katanya.

Mazlan berkata, di sebalik cabaran yang dihadapi petani di kampung itu, mereka tetap bersyukur kerana masih mampu mengusahakan tanaman padi yang diwarisi nenek moyang mereka dan berharap ia terus kekal.

Beliau bersama abangnya, Ahmad Fuad, 40, mengambil alih mengusahakan sawah padi seluas lebih lapan hektar daripada bapa mereka selepas menamatkan pelajaran di sekolah menengah.

"Sejak kecil lagi saya sudah didedahkan dengan sawah pagi menyebabkan selepas tamat belajar sekolah menengah saya mengambil keputusan untuk membantu bapa selepas mengambil alih sepenuhnya sawah padi itu," katanya.

Seorang lagi petani, Rizal Selamat, 37, yang turut mengambil alih mengusahakan sawah daripada bapanya, berkata pada hari ini hanya kira-kira 10 peratus pesawah adalah golongan berusia, manakala bakinya adalah generasi muda.

Katanya, seboleh mungkin penduduk kampung berusaha mengekalkan keluasan tanah sawah yang ada untuk diusahakan bagi memastikannya tidak ditukar kepada kawasan pertanian lain atau dijadikan tapak rumah.

Beliau sendiri mengusahakan kira-kira 2.5 hektar sawah milik bapanya, selain empat hektar sawah yang disewa daripada pemilik asal yang tidak dapat mengusahakannya sendiri.

"Walaupun dikenakan bayaran sewaan kira-kira RM150 bagi setiap 0.4 hektar sawah, hakikatnya ramai yang berebut-rebut untuk menyewa sawah kerana pada masa ini tanah sawah yang ada tidak mencukupi.

"Adalah satu kerugian jika tanah yang masih ada tidak dapat dikerjakan kerana masalah pengairan sehingga ia terpaksa dibiarkan atau dijadikan kebun sayur," katanya.

Rizal berkata, walaupun pernah mengalami kerugian beberapa musim penuaian padi akibat masalah serangan perosak dan pengairan, selain peningkatan kos baja dan racun, petani tetap bersemangat untuk mengusahakan sawah yang ada.

"Sebelum ini, sejak tiga musim yang lalu, jumlah hasil padi berkurangan akibat pelbagai masalah serangan perosak atau tanah yang kering. Hanya musim kali ini kualiti padi semakin meningkat, sekali gus memberi semangat untuk kami meneruskan usaha," katanya.

Beliau berkata, pada musim penuaian padi kali ini, beliau berupaya mendapatkan hasil kira-kira dua tan bagi setiap 0.4 hektar sawah padi berbanding hanya kira-kira satu tan untuk keluasan yang sama, sebelum ini.

Beliau berharap, kawasan sawah padi di Kampung Sawah Ring itu terus kekal dan diusahakan oleh generasi muda sejajar dengan nama kampung itu sendiri yang diambil sempena dengan keluasan tanaman padi di kawasan berkenaan.

Sumber: Berita Harian Johor, Selasa, 13 Mei 2008

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

budak zaman sekarang nie x blh harap x mcm bdk zaman dulu yg suke menolong mak abah kat sawah dulu!bdk zaman sekarang kalau suruh turun ke tengah sawah xnak katanye ade pacat lah,ade lintah lah, ade ular lah betul budak zaman sekarang jangan marah kpd pembaca2 die mana2 yg membaca