PENGUNJUNG SETIA

09 Mei 2008

JALAN PINTAS KE MELAKA

Selatan: Jalan pintas ke Melaka
Oleh Jamaludin Husin

Pemandu dari Muar hanya ambil masa 20 minit untuk ke Kandang

MUAR: Projek Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (Lebuhraya AMJ) ke Muar yang dibuka kepada kenderaan sejak Jun tahun lalu dapat memendekkan perjalanan pemandu kenderaan dari bandar Muar ke Melaka dan sebaliknya.

Lebuhraya AMJ yang dikenali penduduk di daerah ini sebagai jalan pintas untuk ke Bandaraya Melaka Bersejarah tanpa melalui pekan Sungai Rambai, yang sebelum ini menjadi laluan utama kenderaan.


Pembukaan Lebuhraya AMJ yang menelan kos lebih RM500 juta itu membolehkan pemandu menjimatkan masa perjalanan kira-kira 20 minit ke Melaka, kerana laluan itu melangkaui beberapa pekan kecil iaitu Sungai Rambai, Serkam, Pernu, Merlimau dan Telok Mas.

Dengan menggunakan Lebuhraya AMJ, pengguna boleh memandu terus ke Kandang dari Muar sebelum sampai ke persimpangan tol Lebuhraya Utara Selatan (Plus) Ayer Keroh menuju ke Bandar Melaka.

Pesara guru, Mahat Kassim, 68, berkata, sebelum pembukaan Lebuhraya AMJ, pengguna di daerah ini perlu melalui laluan lama iaitu Jalan Muar-Melaka ke Kesang bersempadan Sungai Rambai.

Beliau berkata, jalan itu juga menjadi tumpuan pelbagai jenis kenderaan, termasuk lori, bas, van pekerja dan bas sekolah selain kenderaan ringan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Keadaan itu juga menimbulkan masalah pengguna kerana melambatkan perjalanan mereka terutama bagi kakitangan sektor awam dan swasta yang bertugas di Melaka.

"Ramai penduduk di daerah ini yang bertugas di negeri itu terpaksa keluar awal pagi pada waktu bekerja bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas," katanya di sini, baru-baru ini.

Mahat berkata, pembinaan lebuh raya tiga lorong itu juga memberi keselesaan kepada pengguna, selain menjimatkan masa dan tenaga ketika dalam perjalanan pergi dan balik daripada bertugas.

Pengusaha salun kecantikan di Tanjung Gading, Kesang, di sini, Salmah Ismail, 45, berkata jalan raya Parit Bunga-Kesang yang turut dinaikkan taraf kepada dua lorong berikutan pembinaan Lebuhraya AMJ memberi keselesaan kepada pengguna.

Beliau berkata, kewujudan lebuh raya serba moden tanpa tol itu memberi manfaat kepada pengguna kerana dapat menjimatkan kos bahan api kepada pengguna melalui lebuh raya berkenaan.

"Projek mega itu bukan saja memberi manfaat kepada penduduk di Melaka malah pengguna di daerah ini.

"Ini kerana sebahagian besar penduduk di daerah ini lebih gemar membeli-belah di pasar raya besar di Melaka di samping membawa keluarga melawat tempat bersejarah di negeri itu pada musim cuti persekolahan dan hujung minggu," katanya.

Abdul Wahab Abu Bakar, 68, bagaimanapun mendakwa pembinaan Lebuhraya AMJ meninggalkan kesan negatif kepada kawasan rekreasi Taman Kesang yang kini menjadi semakin suram kerana tidak dikunjungi orang ramai.

Beliau berkata, sebelum ini, pemandu dari kedua-dua arah sama ada ke Melaka dan Muar singgah untuk menjamu selera di gerai makanan dan minuman di taman rekreasi berkenaan.

"Bagaimanapun, sejak pembukaan Lebuhraya AMJ, kawasan itu menjadi lengang menyebabkan perniagaan di situ lembap kerana pengguna jarang melalui jalan lama.

"Sebelum ini, kawasan rekreasi itu masih mendapat perhatian penduduk tempatan walaupun ramai peniaga mengeluh kerana kekurangan pelanggan. Keadaan peniaga bertambah teruk apabila Lebuhraya AMJ dibuka, pendapatan mereka semakin merosot,” katanya.

Tinjauan Berita Harian mendapati, sebahagian besar gerai perniagaan di kawasan rekreasi itu ditutup walaupun dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan, termasuk surau dan tandas awam, tempat meletak kenderaan serta padang permainan kanak-kanak.

FAKTA: Lebuhraya AMJ

Projek Lebuhraya AMJ yang menelan kos lebih RM500 juta itu turut membabitkan kerja menaik taraf jalan dua lorong dari Pekan Parit Bunga ke Kesang/Sungai Rambai.

Lebuhraya AMJ menjadi pilihan utama pengguna di daerah ini, termasuk kakitangan awam dan swasta yang bertugas di Melaka kerana dapat menjimatkan kos serta memendekkan perjalanan.

Sumber: Berita Harian Johor, 9 Mei 2008

Tiada ulasan: