PENGUNJUNG SETIA

15 Mei 2008

KDRM TINGKAT KAWALAN SEMPADAN ELAK SELUDUP

KDRM tingkat kawalan sempadan elak seludup
Oleh Junita Mat Rasid

Unit risikan digerak pantau aktiviti di pintu masuk berikutan isu beras

MUAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) meningkatkan penguatkuasaan di semua sempadan negara, termasuk pelabuhan selain memantau pergerakan kapal dagang bagi memastikan tiada beras yang diseludup dari negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Rahman Abdul Hamid, berkata langkah itu bertujuan membendung penyeludupan bahan makanan itu yang mungkin berlaku berikutan kenaikan harga beras dunia dan masalah kekurangan beras.


Beliau berkata, setakat ini, pihaknya tidak mengesan kegiatan penyeludupan bahan makanan itu secara besar-besaran melalui sempadan dan laut.

"Setakat ini, belum ada penyeludupan melalui laut tetapi kita sentiasa memantau kapal dagang terutama yang bergerak dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak serta dari Vietnam ke Pelabuhan Klang sebelum ke Sabah dan Sarawak.

"Kita mempunyai pasukan yang cukup, termasuk unit risikan dan yakin dapat mengawal kegiatan penyeludupan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Belemang, Serom, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Abdul Rahman yang juga bekas murid sekolah berkenaan turut menyampaikan sumbangan buku dan basikal kepada murid serta pihak sekolah.

Abdul Rahman berkata, anggota KDRM di sempadan juga diarah meningkatkan penguatkusaan sejak harga tepung naik baru-baru ini, yang memberi isyarat akan berlaku penyeludupan.

Malah, katanya, jabatan itu juga mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani jika berlaku sebarang perubahan atau masalah berbangkit bagi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Selain itu, beliau berkata, anggota KDRM di Pelabuhan Klang sentiasa memantau dan mengenal pasti pengimport beras yang sah bagi melancarkan lagi usaha mengekang penyeludupan.

Beliau berkata, melalui pemantauan dan pemeriksaan ketat itu, pihaknya berjaya mematahkan cubaan menukar beras yang dibungkus dalam plastik beras pulut berikutan beras pulut bukan larangan import, dalam kejadian di sempadan Malaysia-Indonesia, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman berkata, KDRM terpilih antara tujuh jabatan Kastam di seluruh dunia untuk mengadakan pameran dan pembentangan kertas kerja di Pertubuhan Kastam Sedunia (WCO) di Brussels, Belgium, Jun ini.

Katanya, pemilihan KDRM dibuat berikutan kejayaan jabatan itu memenuhi standard yang ditetapkan WCO.

Malah, katanya, KDRM diakui antara pasukan yang paling berjaya di dunia dengan tempat pertama di kalangan negara membangun, tempat 23 daripada keseluruhan 172 negara anggota selain tempat keenam daripada 32 negara di rantau Asia.

Sumber: Berita Harian 13 Mei 2008

Tiada ulasan: