PENGUNJUNG SETIA

23 Mei 2008

PENDUDUK MAHU PEMBANGUNAN SEIMBANG

Penduduk mahu pembangunan seimbang

MUAR 22 Mei - Penduduk pekan Bukit Gambir meminta pembangunan yang dilaksanakan di kawasan itu dilaksanakan secara seimbang iaitu memastikan keperluan asas seperti tempat menunggu bas dan teksi turut diwujudkan.

Ini kerana pembangunan di Bukit Gambir yang semakin berkembang pesat tidak akan memberi sebarang makna sekiranya tiada kemudahan asas yang diperlukan penduduk didirikan.

Seorang penduduk, Zulkiffli Khamis, 42, berkata, penduduk di sekitar pekan itu sememangnya memerlukan sebuah stesen bas dan teksi yang lebih baik, berbanding yang ada sekarang.

"Saya kagum dengan pembangunan yang wujud dan naik secara mendadak sejak lima tahun lalu di Bukit Gambir, tetapi saya hairan kenapa stesen teksi dan bas tidak disediakan," katanya yang menetap di Kampung Meranti Sundai dan bertugas di pusat bandar Muar.

Menurutnya, pembangunan yang seimbang perlu dilaksanakan supaya ia tidak mencacatkan kemajuan di kawasan itu.

Katanya, pada masa yang sama, pertambahan penduduk di kawasan Bukit Gambir juga memerlukan kemudahan sebuah Balai Bomba dan Penyelamat.

"Saya pernah mendengar cadangan mewujudkan sebuah balai bomba di kawasan ini, tetapi sehingga kini masih belum menjadi kenyataan," katanya.

Utusan Malaysia bagaimanapun difahamkan, pembinaan sebuah balai bomba akan dimulakan di persimpangan Jalan Bukit Gambir-Sengkang tidak lama lagi dan ketika ini kerja-kerja pembersihan kawasan sedang giat dijalankan.

Bagi Rosli Moit, 60, pula, orang ramai pernah meminta supaya diwujudkan sebuah stesen bas dan teksi di pekan Bukit Gambir, tetapi dia difahamkan bahawa tiada lokasi yang sesuai untuk dibina kemudahan tersebut.

"Kadang-kadang saya sendiri kasihan melihat penduduk yang terpaksa berhujan dan berpanas menunggu bas di pekan ini dan ketiadaan tempat menunggu itu perlu segera diatasi," katanya yang menetap di Kampung Sungai Bilah.

Pendapatnya disokong seorang pemandu teksi, Chew Kong Long, 54, yang berkata, ketika ini, seramai 15 pemandu teksi terpaksa menggunakan sebuah pondok sementara bagi menunggu penumpang.

Katanya, dia tidak pasti adakah hentian teksi sementara itu sesuai digunakan berikutan terdapat deretan kedai yang akan beroperasi berhampiran hentian itu tidak lama lagi.

Seorang penduduk Kampung Gersik, Salia Abdul Karim, 48, pula berkata, walaupun dia jarang menggunakan kemudahan pengangkutan awam di kawasan itu, namun perlu disediakan sebuah stesen yang sesuai untuk penduduk.

"Hentian bas yang ada terlalu jauh dan wajar sebuah stesen dibina di dalam pekan ini," katanya yang ditemui ketika menunggu bas di persimpangan utama Bukit Gambir.

Ang Chin Hoo, 64, pula berpendapat, penduduk akan lebih berbangga dengan pembangunan di kawasan itu sekiranya kerajaan berhasrat membina stesen teksi dan bas yang lebih selesa di situ.

Dia yang bertugas sebagai pemeriksa tiket bas henti-henti berkata, kewujudan stesen bas dan teksi itu dilihat mampu menarik lebih ramai pengunjung ke pekan itu, walaupun Bukit Gambir terletak jauh dari pusat bandar, tetapi ia kini kian dikunjungi orang ramai untuk membeli-belah.

Sumber: Utusan Malaysia Johor, 23 Mei 2008 (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: