PENGUNJUNG SETIA

29 Mei 2008

SEGERA AMBIL TINDAKAN - NELAYAN

Segera ambil tindakan - Nelayan


MUAR 28 Mei - Nelayan-nelayan yang terjejas akibat pembuangan sisa lumpur di perairan Kampung Kesang Laut dan Kampung Parit Karang di sini mendesak kerajaan agar mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah yang ditanggung mereka.

Rata-rata mereka yang mencari rezeki di perairan pantai itu kesal kerana pendapatan mereka kini terjejas dan mengakibatkan kerugian apabila pukat-pukat yang digunakan turut rosak.

Malah, dengan nada sinis, mereka bimbang segala hasil laut di kawasan itu akan berkurangan jika kegiatan itu tidak dikawal, malah tidak mustahil sumber ikan yang menjadi keperluan penduduk semakin pupus pada masa hadapan.

Seorang nelayan, Maswan Husain, 30, berkata, pukat yang digunakannya sering tersangkut pada lumpur yang dibuang oleh tongkang besar yang melakukan kerja mendalamkan muara Sungai Muar.

"Masalahnya ialah kami tidak tahu di mana lokasi lumpur itu, cuma berharapkan pada nasib supaya pukat yang diturunkan itu tidak mengenai lumpur.

"Bayangkan, setiap kali menurunkan pukat, tiga hingga empat pukat saya akan rosak tersangkut pada lumpur dan batu dan harga satu pukat pula ialah RM100," katanya ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Kampung Kesang Laut, di sini hari ini.

Rakannya, Lim Hwa Giap, 27, nelayan dari Serom yang menggunakan jeti nelayan di kampung itu berkata, dia baru sahaja mengalami kerugian hampir RM300 tiga hari lalu apabila semua tiga pukatnya rosak tersangkut pada lumpur yang dibuang.

Menurut nelayan muda itu, ketika itu, perasaan marah dan sedih bercampur baur apabila rezeki yang dicari lebur dan terpaksa pula menanggung kerugian.

Bekas Pengerusi Nelayan kampung tersebut, Puasa Selamat, 48, pula berkata, lumpur yang dibuang oleh projek itu dilakukan di kawasan 10 batu nautika ke darat dan lokasi itu merupakan tempat nelayan pantai seperti mereka mencari ikan.

"Kesannya turut dirasai bukan sahaja nelayan dari dua kampung di sini, malah nelayan-nelayan dari Sebatu, Merlimau dan Simpang di Melaka turut terjejas.

"Pendapatan kami juga terjejas hampir 50 peratus. Jika dulu, purata pendapatan kami ialah RM1,000, namun disebabkan masalah ini, hasil yang diperoleh cuma sekitar RM500 sahaja setiap bulan," katanya yang menambah antara hidupan marin yang terjejas ialah udang dan ikan bawal serta tenggiri.

Beliau juga turut melahirkan kebimbangan dengan nasib generasi akan datang sekiranya sumber ikan semakin berkurangan disebabkan pencemaran ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Kampung Kesang Laut, Rosman Selamat, 39, pula berkata, dia yakin projek mendalamkan muara sungai itu dilakukan tanpa pemantauan pihak berkuasa.

Menurutnya, jika pemantauan dibuat, dia yakin pihak terbabit tidak berani untuk membuang sisa korek sewenang-wenangnya.

"Jabatan Laut pula memberi alasan mereka kekurangan kakitangan untuk membuat pemantauan dan saya percaya, jika itulah puncanya, kegiatan itu akan terus berlaku,'' jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia 29 Mei 2008 (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: