PENGUNJUNG SETIA

07 Mei 2008

MESYUARAT BANTU MAJUKAN PELAJAR

Mesyuarat bantu majukan pelajar


Ahli Parlimen Ledang, Ir Hamim Samuri sedang menyampaikan hadiah kepada pelajar Sekolah Agama Kesang Tasik sambil diperhatikan Guru Besarnya, Salmah Mahadi.

MUAR 6 Mei - Ibu bapa dan guru digesa menjadikan mesyuarat yang diadakan setiap tahun sebagai peluang untuk berbincang mengenai kaedah meningkatkan tahap kecemerlangan murid untuk terus berjaya.

Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri berkata, mesyuarat agung sesebuah badan seperti badan kebajikan Sekolah Agama serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) di sekolah merupakan platform terbaik bagi ibu bapa dan pihak sekolah berbincang mengenai hala tuju pendidikan anak-anak mereka.

Menurutnya, menerusi mesyuarat tersebut, ibu bapa dapat menyalurkan pendapat atau idea untuk membangunkan sesebuah sekolah demi kepentingan pembelajaran anak-anak mereka.

"Sokongan ibu bapa terhadap aktiviti dan program yang dirancang oleh pihak sekolah dan badan kebajikan amat perlu supaya ada timbal balas antara kedua-dua pihak. "Kemesraan yang terjalin antara ibu bapa dan sekolah membolehkan anak-anak kita belajar dalam suasana yang aman dan harmoni," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Badan Kebajikan dan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan 2007 Sekolah Agama Kesang Tasek, Sungai Mati di sini hari ini.

Turut hadir Penyelia Pendidikan Agama Daerah Muar, Yaakob Sulaiman, Pengerusi Badan Kebajikan Sekolah Agama Kesang Tasek yang juga Ketua Kampung Kesang Tasek, Abdul Rahman Khamis dan Guru Besar sekolah itu, Salmah Mahadi.

Pada majlis itu, Hamim turut mengucapkan tahniah kepada lebih 50 murid yang menerima anugerah kecemerlangan dalam peperiksaan yang diduduki tahun lalu.

Menurutnya, kejayaan seseorang murid itu akan menjadi contoh dan perangsang kepada murid lain untuk berusaha dengan lebih gigih.

"Bidang keagamaan juga amat penting dipelajari kerana ia bukan sahaja pedoman hidup di dunia, malah akan menjadi panduan hidup di akhirat kelak," jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia Johor (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: