PENGUNJUNG SETIA

11 Mei 2008

WANITA KESAL KERETA DITARIK DIUBAH SUAI

Wanita kesal kereta ditarik diubah suai

MUAR 10 Mei - Seorang wanita merasa kesal apabila mendapati beberapa bahagian pada kereta Proton Iswara Aeroback miliknya yang dituntut semula selepas ditarik oleh bank beberapa bulan lalu telah diubah suai.

Rosiahah Mastor, 29, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah mendakwa, kulit bahagian dalam di keempat-empat pintu kereta bernombor pendaftaran JKC 9566 itu telah ditukar, selain alas kaki dan bonet keretanya hilang sebaik sahaja menuntut kembali kereta itu Selasa lalu.

Selain itu, dia turut mendakwa bateri keretanya telah ditukar dan belum memeriksa bahagian-bahagian penting lain termasuk enjin serta alat pendingin hawa yang mungkin juga diubah suai.

Rosiahah yang menetap di Kampung Parit Sagil 3 Tangkak dekat sini berkata, dia membeli kereta itu di Proton Edar Tangkak pada 2 Februari 2007 lalu dengan harga kira-kira RM35,000 melalui pinjaman.

Menurutnya, setiap bulan dia menjelaskan ansuran sebanyak RM460 melalui sebuah bank, namun disebabkan menghadapi masalah kewangan ketika mengandung anak kedua, saya gagal menjelaskan bayaran kereta selama lima bulan.

"Berikutan itu, kereta saya ditarik oleh pihak bank pada pertengahan bulan lalu, namun saya telah menjelaskan bayaran tertunggak sebanyak RM3,476.05 kepada bank itu di Muar pada 29 April lalu," katanya ketika ditemui di rumahnya, dekat sini semalam.

Menurutnya, dia bersama abangnya pergi ke gudang tempat simpanan kenderaannya di Batu 7 1/2, Jalan Kota Tinggi, Masai pada Selasa lalu untuk menuntut kembali kenderaannya itu.

Namun, dia terkejut apabila mendapati beberapa komponen termasuk kulit pintu di bahagian dalam serta alas kaki dan kelengkapan pada bonet kereta itu hilang.

Meskipun dalam keadaan masih berpantang selepas melahirkan anak, dia bertanya kepada pemilik gudang itu namun mereka menafikan barangan itu hilang di gudang tersebut.

"Pemilik gudang itu mendakwa kereta tersebut sememangnya dalam keadaan sedemikian ketika dihantar dan mengarahkan saya bertanya kepada pihak bank.

"Saya kemudian menghubungi pihak bank, namun jawapan yang diterima juga sama iaitu mereka tidak tahu menahu. Malah penarik kereta yang dihubungi turut menafikan dia mengambil dan mengubah suai kereta saya," jelasnya.

Rosiahah yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Sagil Kampung dekat sini berkata, dia kesal kerana semua pihak yang terlibat seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab dengan keadaan kereta tersebut.

Kecewa dengan keadaan itu, dia membuat laporan di Balai Polis Taman Johor Jaya, Seri Alam di Masai pada petang Selasa lalu.

"Walaupun kereta saya ditarik, saya masih pemilik kenderaan itu. Malah, saya membayar semula ansuran bulanan, tetapi kenapa kereta saya diubah suai serta barangannya hilang.

"Saya juga rasa seperti ditendang macam bola, masing-masing tidak mahu bertanggungjawab dan apa yang saya inginkan ialah ganti rugi kerosakan kenderaan saya," katanya.

Menurutnya, dia turut kesal dengan kenyataan mengelirukan oleh salah seorang pegawai bank tersebut di Melaka yang berkata, sekiranya ingin membuat tuntutan ganti rugi, kepada siapa dia hendak membuat tuntutan tersebut.

Sumber: Utusan Malaysia (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: