PENGUNJUNG SETIA

26 Mei 2008

MAIJ MAHU BELI ASRAMA UNTUK PELAJAR DI MESIR

Selatan: Maij mahu beli asrama untuk pelajar di Mesir
Oleh Jamaludin Husin

Masyarakat Islam disaran sertai skim Saham Wakaf Johor bagi biaya bangunan enam tingkat

MUAR: Masyarakat Islam di negeri ini disaran menyertai skim Saham Wakaf Johor (SWJ) yang dikendalikan Majlis Agama Islam Johor (Maij) bagi membantu menjayakan usaha membeli asrama untuk pelajar yang melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Ketua Penolong Pengarah Zakat dan Baitulmal Maij, Ahmad Faisal Muhamad, berkata pembelian asrama enam tingkat di Kaherah, Mesir yang berharga RM4 juta itu memerlukan sumbangan orang ramai selain peruntukan yang disalurkan Maij.


Beliau berkata, melalui skim SWJ itu, orang ramai boleh menderma sambil beramal jariah bagi tujuan kepentingan pendidikan Islam sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti.

"Langkah mewujudkan skim SWJ juga dapat membantu meringankan kewangan pihak Baitumal yang bertanggungjawab menyalurkan sebahagian daripada kutipan zakat di negeri ini kepada asnaf memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku ahli panel Program Forum Perdana sempena sambutan Maulidur Rasul anjuran Pejabat Agama Daerah Muar dan Ledang dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Jamek Datuk Abdul Ghani, Sagil Parit 2, Tangkak, di sini, baru-baru ini.

Forum yang dipengerusikan Pegawai Tadbir Agama Daerah Muar, Ahmad Hanif Naim itu turut disertai dua lagi ahli panel iaitu Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Johor (Jaj), Yosree Ikhsan dan Penolong Pengarah Wakaf Maij, Mustaffa Yuddin Abd Khalim.

Program yang disempurnakan Pegawai Daerah Ledang, Asmail Abd Kadir itu turut dihadiri, Penghulu Kanan Daerah Ledang, Abd Rahman Daud; Penggerak Masjid dan Surau DUN Gambir, Jamal Diman dan Ketua Kampung, Simin Jasiman.

Ahmad Faisal berkata, pembelian SWJ boleh dibeli sekurang-kurangnya RM10 sesaham di semua Pejabat Agama Daerah atau kaunter bergerak Maij.

Sementara itu, Asmail berkata majlis keagamaan yang diadakan di masjid dan surau adalah satu ibadat yang perlu disertai semua lapisan masyarakat Islam setempat, termasuk wanita, remaja dan kanak-kanak.

Beliau berkata, ibu bapa juga perlu melatih anak-anak supaya mendekatkan diri dengan kegiatan keagamaan dengan menghadiri setiap program ,termasuk kuliah dan kelas takmir.

"Langkah itu penting bagi memastikan remaja dapat menghindarkan diri daripada terjebak dalam gejala sosial," katanya.

Sumber: Berita Harian Johor 26 Mei 2008

Tiada ulasan: