PENGUNJUNG SETIA

23 Mei 2008

BUKIT GAMBIR PERLU STESEN BAS

Bukit Gambir perlu stesen bas

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR


Pekan Bukit Gambir makin pesat membangun tetapi tidak mempunyai kemudahan stesen bas dan teksi. - Gambar SUFFIAN ABU BAKAR

MUAR 22 Mei - Bukit Gambir merupakan satu kawasan yang sedang pesat membangun di daerah Muar.

Meskipun ia sedang pesat berkembang dengan deretan kedai dan pusat perniagaan yang diumpamakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan, namun ramai pihak menyatakan ada 'kecacatan' iaitu ketiadaan stesen bas dan teksi di kawasan itu.

Selain stesen bas dan teksi, Bukit Gambir yang mempunyai lebih 30,000 penduduk boleh dikatakan lengkap dengan pelbagai kemudahan asas termasuk pasar besar dan pasar tani, sekolah, klinik kesihatan dan pondok polis.

Sejak lebih lima tahun, pembangunan di pekan itu dilihat melonjak dengan pantas sekali gus mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan kepada penduduk kawasan tersebut.

Di bawah pentadbiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M. Asojan, Bukit Gambir yang terletak kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar Muar, berubah wajah dari sebuah 'pekan koboi' suatu ketika dahulu kepada sebuah pekan yang semakin maju.

Malah, tidak salah jika dikatakan pekan ini sering menjadi tumpuan penduduk dari beberapa buah kampung sekitar untuk mendapatkan pelbagai keperluan harian kerana pusat perniagaan masih menawarkan harga yang rendah.

Bagi penduduk, perkhidmatan bas henti-henti dari pusat bandar Muar ke Kundang Ulu dan Sengkang disediakan oleh sebuah syarikat, Northwest Johore Bus Service melalui pekan Bukit Gambir.

Jadual bas yang berulang-alik dari Muar ke kedua-dua destinasi itu bermula seawal pukul 7 pagi dan berakhir pada pukul 7 malam setiap hari. Sebuah hentian teksi sementara juga terdapat di pintu masuk pekan Bukit Gambir itu, namun keadaannya yang dibina menggunakan khemah agak mencacatkan pemandangan dan pembangunan di pekan ini.

Justeru, para penumpang bas yang menunggu bas di pekan Bukit Gambir terpaksa berhujan dan berpanas di persimpangan simpang utama ke pekan itu kerana hentian bas yang terdekat terletak di Sekolah Menengah Kebangsaan Gambir, kira-kira satu kilometer dari pekan.

Bagi penumpang teksi pula, hentian sementara teksi yang digunakan lebih 15 pemandu di kawasan itu mungkin akan dipindahkan sebaik sahaja sebuah deretan kedai yang terletak berhadapan dengannya mula beroperasi tidak lama lagi.

Pembinaan stesen bas dan teksi di pekan Bukit Gambir sebenarnya masih dalam perancangan dan cadangan pembinaannya ditolak dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyenaraikan pembinaan kedua-dua kemudahan itu dan ia akan dilaksanakan berhampiran pasar besar di sini sebagai projek kementerian terbabit pada tahun 2009.

"Masalah yang melambatkan pembinaan kemudahan itu ialah kerja-kerja melebarkan jalan di jalan utama pekan ini akan dilaksanakan dahulu sebelum diwujudkan lampu isyarat dan kemudahan itu," kata Asojan ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini.

Menurutnya, pembinaan lampu isyarat di persimpangan Bukit Gambir-Sengkang baru-baru ini, dilihat memudahkan penduduk yang keluar masuk dari arah Sengkang serta mereka yang ingin melalui Jalan Bukit Gambir-Kundang Ulu.

Katanya, pembinaan dua lampu isyarat di depan Bank CIMB dan hentian teksi itu menelan belanja yang lebih besar iaitu RM1 juta disebabkan kerja pelebaran jalan perlu dilakukan.

"Disebabkan kedua-dua persimpangan itu ialah simpang empat, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan bahawa kosnya meningkat berbanding RM200,000 sebuah kerana kita terpaksa melebarkan jalan kepada empat lorong dan mewujudkan pembahagi jalan.

"Berikutan kerja-kerja pelebaran jalan itu juga, ia memakan masa yang lama untuk diluluskan kerana JKR perlu menyiapkan kerja menaik taraf jalan itu terlebih dulu sebelum membina lampu isyarat dan seterusnya stesen teksi dan bas," jelas Asojan.

Beliau meminta penduduk kawasan itu agar bersabar kerana masalah ketiadaan stesen bas dan teksi akan diatasi apabila tiba masanya kelak dan ia dijangka bermula pada tahun hadapan.

Menurutnya, sebagai wakil rakyat, beliau akan memastikan semua kemudahan asas disediakan kepada penduduk dan tiada gunanya segala pembangunan itu diwujudkan jika ia tidak lengkap.

Sumber: Utusan Malaysia Johor, 23 Mei 2008 (www.utusan.com.my)

Tiada ulasan: