PENGUNJUNG SETIA

08 Mei 2008

BELIA TANAM SAYURAN DI KAKI GUNUNG LEDANG

Selatan: Belia tanam sayuran di kaki Gunung Ledang
Oleh Junita Mat Rasid


SUBUR: Mohd Amir gembira dengan hasil tanaman kacang panjang di ladangnya di Sagil.


Petani muda dapat bantuan Bank Agro usaha projek berkelompok di Kampung Melayu Raya, Sagil

MUAR: Sagil yang terletak di kaki Gunung Ledang cukup terkenal dengan legenda puterinya yang menjadi idaman Sultan Melaka pada zaman dulu berikutan kecantikannya.

Namun, bukan itu saja yang membuatkan kawasan ini dikenali.


Kawasan ini juga memiliki tanah yang subur sehingga banyak kawasan pertanian dibuka di kaki gunung berkenaan.

Aliran air yang jernih dan segar dari gunung itu dikatakan antara faktor menyumbang kepada kesuburan tanah di kawasan berkenaan, yang sesuai dijadikan ladang pelbagai jenis sayur terutama kacang panjang, bendi, timun dan terung.

Apa yang lebih membanggakan, pertanian di kawasan itu diusahakan golongan belia.


BERSEMANGAT: Mohd Hakim memeriksa anak benih sayur kacang panjang di tapak semaian.


Kelompok Tani Sagil disertai 15 petani muda yang berusia awal 20-an hingga lewat 30-an membuktikan bahawa sektor pertanian menjanjikan hasil lumayan jika diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, termasuk kos input baja yang semakin meningkat dan pasaran yang tidak menentu, ia tidak mematahkan semangat belia tani itu untuk meneruskan perjuangan mereka dalam bidang berkenaan.

Mohd Amir Wagiman umpamanya adalah antara contoh belia yang sanggup berpanas dan berhujan mencurah keringat dalam bidang pertanian di Sagil, yang kini menjadi antara kawasan tanaman sayur terbesar di daerah ini melalui projek pertanian berkelompok.

Hari ini, tiada siapa yang menyangka dalam usia 24 tahun dan hanya menamatkan pelajaran setakat tingkatan empat, beliau kini menikmati pendapatan bersih lebih RM2,000 sebulan, hasil daripada inisiatifnya berbakti kepada tanah dengan tanaman pelbagai jenis sayur.

Beliau yang mula terbabit dalam bidang pertanian sejak 2003 berkata, hanya selepas beberapa bulan menanam sayur, beliau mendapat pulangan agak lumayan sehingga mendorongnya untuk terus terbabit dalam bidang berkenaan.

"Pada mulanya saya membuka kebun seluas kira-kira 1.2 hektar sebelum keluasannya ditambah secara berperingkat. Kini, saya memiliki kawasan penanaman sayur dan pisang seluas 10 hektar," katanya ketika ditemui di ladangnya di Kampung Melayu Raya, Sagil.

Katanya, sebelum menjadi petani, beliau melakukan pelbagai kerja, termasuk kerja kilang, pemandu lori dan membantu bapanya berniaga kedai runcit.

Mohd Amir berkata, beliau mula berjinak-jinak dengan pertanian selepas berkahwin dengan tujuan untuk menambah pendapatan dan tidak menyangka akhirnya menjadi petani moden pada usia yang muda.

Sementara itu, seorang lagi belia tani, Mohd Hakim Taufikul Rahman, 23, berkata beliau mula terbabit dalam bidang pertanian selepas tidak berpeluang menyambung pengajian ke universiti kerana perlu menjaga adik-beradik selepas kematian orang tua.

Katanya, walaupun baru tiga tahun bertani, beliau kini boleh menarik nafas lega kerana mampu mendapat pendapatan lumayan hasil daripada ladang sayurnya seluas 14 hektar di Kampung Sagil Parit Satu.

Beliau turut menggunakan lapan pekerja untuk membantunya menguruskan ladang itu selain beliau sendiri bekerja dari pagi hingga malam untuk memastikan ladangnya dikendalikan dengan baik.

"Prinsip saya mudah, kita berbudi kepada tanah, Insya-Allah akan mendapat hasilnya. Jika kita rajin, akan dapat lebih hasil tetapi jika malas kita akan mendapat hasil yang kurang dan itulah janji seorang petani," katanya.

Bagi Sazali Said, 34, pula beliau mampu memperoleh hasil sehingga RM12,000 sebulan hasil daripada tanaman sayur di ladang seluas kira-kira sembilan hektar di Kampung Melayu Raya, Sagil.

"Selepas ditolak dengan kos penanaman, termasuk baja dan upah pekerja, saya masih boleh menarik nafas lega kerana mampu memperoleh pendapatan yang agak lumayan," katanya.

Katanya, beliau banyak mendapat bantuan daripada Jabatan Pertanian dan Agro Bank untuk modal permulaan sehinggalah beliau menjadi petani sepenuh masa.

Penanam pisang, Suyar Basir, 38, berkata minatnya untuk bertani timbul apabila melihat peraih memasuki kampungnya untuk mendapatkan pisang.

Kini Suyar bukan saja memiliki ladang pisang seluas kira-kira lima hektar, malah beliau sendiri menjadi pemborong buah dan sayur untuk pasaran luar daerah ini.

"Saya memiliki lori sendiri untuk mengangkut buah dan sayur sehingga ke Melaka dan Rengit bagi memenuhi permintaan pelanggan terutama untuk perniagaan memproses dan buah segar," katanya.

Sumber: Berita Harian Johor, 7 Mei 2008

Tiada ulasan: