PENGUNJUNG SETIA

21 Mei 2008

6 SESAT DAKI GUNUNG LEDANG SEJAK AHAD DITEMUI SELAMAT

6 sesat daki Gunung Ledang sejak Ahad ditemui selamat


MUAR: Enam remaja lelaki berusia antara 21 tahun dan 22 tahun yang sesat ketika mendaki Gunung Ledang sejak Ahad, ditemui selamat di kawasan berhampiran aliran sungai kira-kira 600 meter daripada kaki gunung itu, semalam.

Semua mangsa termasuk tiga pelajar kolej yang berasal dari Johor Bahru itu ditemui pasukan penyelamat kira-kira jam 9.45 pagi yang berusaha mengesan mereka sejak petang Ahad, selepas menerima laporan kehilangan mereka daripada ahli anggota keluarga yang dihubungi mangsa.

Poh Tan Chin, Tay Shen Loong, kedua-dua berusia 21 tahun dan empat lagi rakan mereka yang berusia 22 tahun iaitu Bek Tat Chung, Lee Ming Ru, Chan Yek Lih serta Heng Jui Keat, mendaki gunung itu sejak pagi Ahad lalu, tetapi dilaporkan tersesat ketika cuba mencari jalan turun.


Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata kumpulan pendaki itu didapati tidak menggunakan perkhidmatan jurupandu Perbadanan Taman Negara Johor atau Gunung Ledang Resort, menyebabkan mereka tersesat.

Katanya, kira-kira 50 anggota pasukan penyelamat termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Perbadanan Taman Negara Johor serta Persatuan Radio Amatur Malaysia (Marts) Johor Selatan, membantu mengesan semua mangsa itu selepas menerima maklumat mengenai kehilangan mereka.

"Mangsa mula mendaki sejak pagi Ahad dan sepatutnya turun semula pagi Isnin, tetapi mereka sesat menyebabkan mereka menghubungi anggota keluarganya yang kemudian membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai kehilangan mangsa," katanya.

Katanya, ketika ditemui oleh pasukan penyelamat, kumpulan pendaki itu didapati tersasar daripada trek laluan pendakian biasa menyebabkan mereka tidak menemui jalan keluar.

Mohamad Nasir turut menasihatkan orang ramai yang mahu mendaki Gunung Ledang supaya mendapatkan perkhidmatan jurupandu berdaftar dan memaklumkannya kepada Perbadanan Taman Negara Johor bagi mengelak kejadian sesat.

Sementara itu, seorang daripada kumpulan pendaki berkenaan, Poh ketika ditemui berkata, pada mulanya beliau bersama lima lagi rakannya yang juga bekas rakan sekolah mengambil keputusan untuk mendaki dan berkhemah di Gunung Ledang sempena cuti Hari Wesak dan tidak menyangka mereka akan tersesat.

Sumber: Berita Harian, 21 Mei 2008

Tiada ulasan: