Aidilfitri impian tempa iman makin hebat
Tajdid Iman bersama Dr Juanda Jaya
DR Yusuf al-Qaradhawi dalam khutbah hari rayanya pernah berkata: “Barang siapa yang menyembah Ramadan, sesungguhnya Ramadan sudah pergi dan barang siapa yang menyembah Allah, maka Dia sentiasa hidup, tidak pernah mati.”
Selepas menganalisis kecenderungan umat Islam saat ini, iaitu mereka yang tidak memahami matlamat sebenar puasa, maka kita melihat tidak sedikit orang Islam sudah pun membuka ikatan yang tersimpul antara dirinya dengan Allah pada Ramadan kemudian mengikat kembali diri mereka dengan tali kelalaian dan hawa nafsu semula.
Masjid kembali sunyi selepas Aidilfitri, bacaan al-Quran tidak lagi kedengaran di rumah mereka, malam dilalui dengan berjaga sambil berhibur memanjakan nafsu. Di manakah orang yang memanggil Allah, merintih dan memohon cahaya terang dalam kegelapan?
Seolah-olah mereka hanya mengenal Allah pada Ramadan, selepas puasanya tamat maka tamatlah juga hubungan dengan Allah. Pada hal yang menjadi tanda diterima puasanya seseorang ialah dia masih mengekalkan hubungan mesra dengan Allah pada setiap masa tanpa syarat.
Seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang mahu menerima petunjuk, Allah menambah petunjuk kepada mereka dan memberikan balasan ketakwaannya.” (Surah Muhammad, ayat 17)
Pada pagi Syawal yang mulia, umat Islam disyariatkan supaya bertakbir tanda gembira kerana sudah memenangi perlawanan yang sungguh mencabar. Kalimah itu amat bermakna dalam diri setiap mukmin.
Allahu Akbar! Allah Maha Besar! Satu pengiktirafan mengenai siapakah yang paling hebat, antara kehebatan yang bertakhta di atas dunia ini? Kalimah itu meluluhkan hati para raja dan pemimpin yang beriman, bahawa akan berakhirlah kekuasaan mereka atau mungkin Allah akan memelihara mereka jika Dia Yang Maha Akbar menghendaki. Maka, hati-hati itu menjadi lembut kerana ingatkan kekuatan Allah, kebesaran dan keagungan-Nya.
Kalimah itu juga memberi ingatan kepada rakyat supaya teguh di bawah bayang-bayang penguasa yang diredai Allah dan sama sekali menolak kesetiaan kepada sesiapapun yang membelakangi Allah.
Mereka berkumpul bersama semangat kasih sayang dan persaudaraan semata-mata kerana kalimah yang menggoncangkan hati, membangkitkan semangat iman yang baru, seterusnya merangka strategi saling bahu membahu dalam menegakkan amar makruf nahi mungkar.
Sesuai dengan ajakan al-Quran kepada umat Islam yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran, dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.” (Surah al-Maidah, ayat 2)
Begitulah impian masyarakat baru dengan jiwa baru dan iman yang semakin hebat ditempa pada Ramadan yang mulia. Allahu Akbar!
Menjadi sunnah Rasulullah SAW semua berkumpul di tanah lapang untuk melakukan sembahyang sunat Aidilfitri sebagai tanda kemenangan dan kesyukuran kepada Allah. Sesuai dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Bentuk kesyukuran kepada Allah tidak semestinya ditandai dengan menjemput makan seperti amalan dilakukan sesetengah masyarakat kita, bahkan mungkin amalan itu boleh mendekati pembaziran jika tidak diurus dengan betul, hajat hati nak bersyukur apa daya jadi kawan syaitan.
Pembaziran masih menjadi isu yang sentiasa diperdengarkan, berlebih-lebihan menjamu selera juga akan mematikan hati dan akhirnya tiada tenaga untuk beribadat.
Bersyukurlah seperti diajarkan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Makanan dua orang cukup untuk tiga orang dan makanan tiga orang cukup untuk empat orang.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Walaupun tidak dinafikan bahawa memakan hidangan bersama boleh mengikat kemesraan tetapi perlu diamalkan disiplin yang baik supaya tidak terjadi pembaziran. Kemesraan dan kasih sayang yang harum mewangi ketika mereka meraikan hari raya, pernah disentuh Dr Hamka dalam teks khutbah hari raya beliau: “Sembahyang raya inilah suatu demonstrasi untuk menunjukkan rasa cinta bukan demonstrasi menabur rasa benci.”
Saat dilaungkan takbir hendaklah lahir benih-benih cinta dan kasih sayang di jiwa orang beriman. Takbirlah yang menyatukan mereka di bawah panji Allah dan Rasul-Nya. Seolah-olah mereka berperang dalam satu barisan yang kukuh tanpa virus dengki, tamak haloba dan dendam yang boleh merosakkan kekuatan umat Islam.
Doa orang beriman seperti dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: "Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara kami yang telah beriman lebih dulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hasyr, ayat 10)
Dalam menyambut kedatangan Syawal, alangkah eloknya kita melihat kehebatan seorang nabi yang mengatasi kedudukan seorang negarawan paling ulung yang berhasil menyatukan seluruh kaum dengan keadilannya. Dia bersumpah atas nama Allah akan memotong tangan anak perempuannya sendiri jika dia mencuri dan meletakkan keadilan seadil-adilnya kepada golongan bukan Muslim.
Dialah Rasulullah SAW, pemimpin pertama dalam pemerintahan Islam yang diasuh oleh bimbingan wahyu dalam pendekatan politiknya yang terbukti cemerlang pada pandangan kawan mahupun lawan. Sesungguhnya Baginda menjadikan dua hari raya sebagai momentum terbaik untuk membangkitkan semangat ukhuwah dan menyegarkan iman umat Islam.
Diwajibkan padanya zakat fitrah untuk memastikan kasih sayang itu mekar antara yang kaya dengan miskin, supaya dilabuhkan keadilan dalam pembahagian antara mereka. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Elakkan mereka yang miskin daripada berpusing-pusing meminta sedekah pada hari ini.” (Hadis riwayat Ibnu ‘Adi dan al-Dar al-Qutni daripada Ibnu Umar)
Rasulullah SAW memberi pengajaran bahawa kestabilan dan kesejahteraan suatu bangsa hanya dapat ditegakkan dengan menghapuskan jurang antara yang kaya dengan miskin, kuat dengan lemah dan bergantung kepada kasih pemimpin ke atas rakyatnya.
Rasulullah SAW mengharapkan kebaikan ke atas pemimpin yang amanah melalui doa Baginda yang pernah didengar Ummul Mukminin Aisyah yang bermaksud: “Ya Allah sesiapa saja yang diberi kekuasaan mengurus umatku kemudian mempersulit mereka maka susahkanlah ia, dan sesiapa yang diberi kuasa kemudian mempermudahkan mereka maka mudahkanlah ia.” (Hadis riwayat Muslim)
Beruntunglah pemimpin yang mengasihi rakyat kerana mereka mendapat doa yang dikhaskan, bahkan Baginda SAW pernah menjanjikan lebih baik daripada itu melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang berlaku adil di sisi Allah laksana berada di atas mimbar yang diperbuat dari cahaya. Mereka itu adalah orang yang adil dalam memberi hukuman kepada keluarga sendiri dan rakyat jelata.” (Hadis riwayat Muslim)
Imam al-Bukhari dan Muslim juga melaporkan hadis yang bermaksud: “Tujuh golongan dinaungi Allah pada hari kiamat yang tiada naungan selain naungan-Nya, (salah satu dari mereka) pemimpin yang adil.”
Namun demikian rakyat juga harus menunjukkan ketaatan supaya tidaklah kasih sayang pemimpin itu bertepuk sebelah tangan. Apabila hubungan kedua-duanya terjalin dengan mesra maka usaha merealisasikan kestabilan umat akan lebih mudah dan telus.
Bahkan Rasulullah SAW menegaskan kepada umatnya mengenai kedudukan rakyat yang salih dalam hadis yang bermaksud: “Seorang Muslim wajib mendengarkan dan mentaati pemerintah, yang disukainya mahupun yang tidak disukai. Kecuali bila ia diperintah mengerjakan maksiat maka ia tidak boleh mendengar dan mentaati.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Begitulah semangat Syawal yang semestinya ditiupkan ke dalam jiwa umat Islam. Yang pertama memperingatkan kita perlunya tali Allah disimpulkan pada setiap masa bukan pada Ramadan saja kemudian bentuk kesyukuran yang mesti ditonjolkan dan dibuktikan melalui amalan dan akhirnya rahsia laungan takbir yang boleh menyatukan umat dan menumbuhkan benih kasih sayang. Selamat menyambut hari raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin.
Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui Juanda@msu.edu.my
SUMBER: BERITA HARIAN, 29 SEPTEMBER 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan