Johor: Sanggup beratur lama beli air soya
Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my
DAPAT SAMBUTAN: Orang ramai sanggup beratur seawal jam 4 petang untuk membeli air soya di Bazar Ramadan Tanjung Agas, Muar. |
Pengunjung bertumpu seawal jam 4 petang
MUAR: Setiap kali Ramadan, gerai air soya milik Jamaluddin Abdul Wahab di Bazar Ramadan Tanjung Agas, sentiasa mendapat tempat penggemarnya apabila mereka sanggup beratur panjang semata-mata untuk membeli air soya itu.
Setiap hari sepanjang Ramadan, Jamaluddin, 43, yang mula berniaga air soya sejak hampir 20 tahun, mampu menjual kira-kira lapan tong besar air soya dan lima tong taufu.
Malah, berikutan keadaan orang ramai yang mengerumuni gerai itu seawal jam 4 petang menyebabkan gerai itu terpaksa diletakkan di laluan berhadapan pasar dan jauh dari gerai lain bagi mengelak ia menghalang gerai bersebelahan.
Jamaluddin dengan bantuan dua pekerja biasanya menjual air soya seminggu sekali iaitu di pasar malam tetapi pada Ramadan beliau menjual setiap hari di pasar berkenaan.
Selain itu, Jamaluddin turut mendapat tempahan dalam kuantiti yang banyak daripada orang ramai, termasuk jabatan kerajaan dan swasta.
Ditanya keistimewaan air soya sehingga setiap hari gerainya dipenuhi pelanggan, Jamaluddin berkata, hanya mereka yang pernah merasai sendiri air soya itu tahu keenakan dan kelebihannya berbanding air soya lain.
"Tanyalah pelanggan yang membeli air soya ini tetapi daripada maklum balas yang saya terima, rasanya yang lemak manis dan tidak mudah basi itu disukai orang ramai," katanya yang berahsia mengenai bahan yang digunakan.
Sementara itu, orang ramai yang ditemui mengakui keenakan air soya itu tidak dapat ditandingi di tempat lain berikutan ia mempunyai rasa yang asli, pekat dan lemak manis, selain lambat basi walaupun tidak disimpan dalam peti sejuk.
Ismail Abd Rahman, 43, berkata, hampir setiap hari beliau sekeluarga akan beratur untuk membeli tiga bungkus air soya yang dijual pada harga RM2.50 sebungkus, 50 sen lebih mahal berbanding tahun lalu.
SUMBER: BERITA HARIAN, 12 SEPTEMBER 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan