PENGUNJUNG SETIA

24 September 2008

MASJID, SURAU BUKAN GELANGGANG POLITIK

Johor: Masjid, surau bukan gelanggang politik

Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bharian.com.my

LEDANG: Jemaah masjid dan surau khususnya dalam kawasan Parlimen Ledang diingatkan supaya tidak menjadikan pusat ibadat itu sebagai tempat perbincangan hal politik semasa, lebih-lebih lagi ketika Ramadan.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri, berkata mereka seharusnya meningkatkan amal ibadat selaras dengan ibadat berpuasa sekali gus mengukuhkan lagi keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Beliau berkata, masjid dan surau perlu dikekalkan sebagai institusi keagamaan untuk mengembangkan syiar Islam di kalangan masyarakat setempat dan tidak seharusnya dijadikan sebagai gelanggang berpolitik.

"Langkah itu bukan saja dapat mengelak daripada berlaku perpecahan di kalangan ummah, malah mampu menjalin semangat bermuafakat dengan melakukan kegiatan berfaedah sebagai persediaan menyambut hari lebaran yang bakal menjelang tidak lama lagi.

"Ibadat puasa memerlukan penghayatan sepenuhnya dengan melupakan segala perselisihan pendapat serta memberi tumpuan untuk beribadat, termasuk menunaikan solat tarawih dan bertadarus," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis kenduri khatam al-Quran di Masjid Jamek Parit Kassan, Bukit Gambir, di sini, malam kelmarin.

SUMBER: BERITA HARIAN, 24 SEPTEMBER 2008

Tiada ulasan: