PENGUNJUNG SETIA

18 September 2008

PESERTA FELCRA KUNDANG ULU TERIMA DIVIDEN RAYA

Johor: Peserta Felcra Kundang Ulu terima dividen raya

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my


Pembayaran RM2,000 tahun ini meningkat sekali ganda

MUAR: Seramai 290 peserta Felcra Projek Kundang Ulu, dekat sini, menerima dividen hari raya RM2,200 setiap orang, mencatatkan peningkatan lebih sekali ganda berbanding tahun lalu sebanyak RM1,000.

Selain itu, mulai bulan ini setiap peserta juga menerima dividen sebanyak RM1,500 sebulan berbanding permulaan hanya RM150 ketika Felcra kawasan itu dibuka pada 1974.

Felcra Kundang Ulu yang terbabit dengan tanaman sawit seluas 1,071.86 hektar dibuka pada Julai 1974 dengan peserta mendapat hak milik tanah pada 22 Jun 2006 dan diuruskan oleh Syarikat Peserta Perladangan Kundang Sdn Bhd sejak 1 Mac 2007.

Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menyempurnakan majlis penyerahan dividen itu, semalam, berkata beliau kagum dengan pengurusan ladang Felcra berkenaan yang dijalankan secara tersusun dan produktif sehingga mampu memberikan hasil lumayan kepada setiap peserta Felcra itu, selain mendapat dividen khas untuk persiapan menyambut hari raya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua peserta supaya tidak menjual saham mereka dalam syarikat berkenaan kerana ia memberi jaminan pendapatan yang boleh diwarisi kepada anak cucu mereka.

"Setiap tahun syarikat mampu memberikan dividen yang tinggi kepada peserta dan dijalankan secara berterusan. Saya juga bangga apabila dimaklumkan menjelang akhir tahun ini syarikat itu mampu memberikan pendapatan antara RM23,000 hingga RM26,000 kepada setiap peserta dan jumlah itu dijangka meningkat kepada RM27,000 pada tahun depan," katanya.

Sementara itu, beberapa peserta Felcra Kundang Ulu yang ditemui, berterima kasih kepada pihak pengurusan dan kerajaan kerana memberikan dividen untuk meringankan mereka menyediakan persiapan menyambut hari raya tidak lama lagi.

Ismail Hashim, 56, berkata beliau berbangga apabila dividen yang dicapai oleh syarikat meningkat berkali ganda berbanding tahun lalu dan ia sekali gus memberi rezeki yang lebih kepada setiap peserta.

Beliau berkata, selain digunakan untuk persiapan menyambut hari raya, wang dividen itu juga boleh digunakan untuk perbelanjaan persekolahan anaknya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan syarikat yang memberikan dividen hari raya yang boleh membantu peserta tambahan lagi ketika harga barang keperluan yang semakin meningkat," katanya yang mempunyai lapan anak, termasuk dua yang masih belajar.

SUMBER: BERITA HARIAN, 18 SEPTEMBER 2008

Tiada ulasan: