PENGUNJUNG SETIA

04 September 2008

PENCURI TARAWIH MENGGANAS LAGI

PENCURI TARAWIH MENGGANAS LAGI

PECAH...Borhan menunjukkan kerosakan pada pintu belakang rumahnya
yang dipatahkan perompak.


MUAR: Sebuah lagi rumah dipecah masuk ketika pemiliknya mengerjakan solat Tarawih, menyebabkan kerugian lebih RM2,00 dalam kejadian di Parit Haji Idris, Bukit Gambir, di sini, malam kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku antara jam 8.30 hingga 10.45 malam, ketika mangsa Borhan Wagimin, 61, bersama isterinya, Aminah Sardi, 53, mengerjakan solat Tarawih di masjid berhampiran.

Borhan berkata, pencuri dipercayai memecah masuk melalui pintu tengah rumahnya sebelum keluar menggunakan pintu dapur.

Katanya, dia hanya menyedari kejadian itu apabila pulang mengerjakan solat Tarawih apabila barangan di dalam bilik dan di luar berselerak.

Menurutnya, akibat kejadian itu dia kerugian RM1,000 wang jualan kelapa sawit serta RM800 yang dipegang sebagai Bendahari Biro Pelajaran kampung itu.

Malah katanya, telefon bimbit milik anaknya yang baru balik ke asrama di sekolah agama di Kesang Tasik, petang kelmarin juga lesap dikebas penjenayah.

"Lampu di luar rumah dipasang sebelum saya dan isteri meninggalkan rumah dan tidak menyangka penjenayah berani memecah rumah.

"Saya tidak menolak berkemungkinan penjenayah biasa dengan selok belok di kampung, tidak mungkin orang luar tahu keadaan rumah dan kampung kami ini," katanya.

Menurutnya, kejadian itu adalah kali kedua rumahnya dipecah masuk dalam tempoh 10 tahun ini.

Katanya, laporan polis dibuat di Balai Polis Bukit Gambir kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

Kejadian itu adalah kali kedua berlaku dalam tempoh dua hari Ramadan dan kejadian pertama membabitkan sebuah rumah di Kampung Parit Jarum Tengah, Bukit Gambir terletak dua kilometer daripada tempat kejadian kedua.

SUMBER: HARIAN METRO, 4 SEPTEMBER 2008

Tiada ulasan: