PENGUNJUNG SETIA

18 September 2008

PESERTA DIINGAT JANGAN JUAL TANAH

Peserta diingat jangan jual tanah


Peserta Felcra (kiri) mendaftar nama bagi mendapatkan bayaran dividen hari raya di Kundang Ulu, dekat Muar, semalam.

MUAR 17 Sept. - Peserta Felcra Kundang Ulu dekat sini yang menerima dividen sempena Hari Raya Aidilfitri, dinasihatkan tidak menjual tanah mereka semata-mata untuk mendapatkan keuntungan segera.

Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, tanah di kawasan itu yang ditanam dengan pokok kelapa sawit mempunyai nilai yang tinggi dan berpotensi untuk dimajukan pada masa depan.

Selain itu, katanya, langkah syarikat perbadanan koperasi di tanah tersebut yang mengusahakan ternakan lembu secara bersepadu menyebabkan pendapatan para peserta tidak akan terjejas.

"Saya menggesa para peserta Felcra tidak mengambil tindakan terburu-buru untuk menjual tanah tersebut kerana ia mempunyai nilai yang tinggi beberapa tahun akan datang.

"Sesiapapun tidak boleh menjangka bahawa kali ini peserta menerima dividen berjumlah RM2,200. Tidak mustahil, pada masa yang akan datang, nilai dividen yang diterima menjadi berlipat kali ganda," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dividen Hari Raya di Dewan Serbaguna Felcra Kundang Ulu, dekat sini semalam.

Seramai 290 peserta Felcra menerima dividen berjumlah RM2,200 setiap keluarga daripada syarikat Perladangan Peserta Kundang Sdn. Bhd. yang ditubuhkan sejak 1974.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Serampang, Tahir Mohd. Taat, dan Pengurus Ladang Felcra Kundang Ulu, Mohd. Shariff Abdul Rahman.

Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan replika cek dividen hari raya dan dividen untuk bulan Ogos berjumlah RM1,073,000 kepada ketua peserta Felcra itu, Md. Rasip Rabikun.

Menurut Muhyiddin, semua peserta yang mewarisi tanah itu melalui generasi pertama mereka diharap dapat menjaga tanah kurniaan kerajaan itu sebaik mungkin kerana peluang untuk mendapat tanah pada masa depan adalah sukar.

Katanya lagi, skim memajukan tanah pertanian menerusi Felcra telah berjaya membantu kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan rakyat menerusi pemberian dividen sebelum tanah tersebut menjadi hak milik mereka.

"Peserta perlu ingat bahawa tanah yang ada itu adalah bekalan untuk generasi masa depan mereka sebagaimana pengorbanan generasi mereka terdahulu yang menjaga tanah itu untuk kesenangan mereka sekarang," jelasnya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 SEPTEMBER 2008

Tiada ulasan: