Johor: Bazar Bukit Gambir catat jualan RM30,000 sehari
Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my
ABDUL RAHMAN (kiri) dan Pegawai Fama Muar, Abd Malek Ramli (dua kiri) melihat ayam percik Johor yang dijual di Bazar Ramadan Pasar Tani Fama Bukit Gambir. |
Pengarah Fama Johor, Abdul Rahaman Suleiman, berkata bazar yang menjadi tradisi Fama itu menyediakan kemudahan kepada peserta untuk menjual pelbagai makanan dan minuman sepanjang Ramadan.
Katanya, pada tahun ini, seramai 53 peserta berniaga di gerai yang disediakan pihaknya di perkarangan pasar tani itu, selain turut menempatkan peniaga di dalam pasar berkenaan.
"Setiap tahun, bazar itu mendapat sambutan menggalakkan dan tahun ini kita juga mencatatkan peningkatan hasil jualan apabila setiap hari nilai jualan yang diperoleh menjangkau RM30,000 dengan purata lebih 1,000 orang mengunjunginya sehari," katanya ketika ditemui selepas melawat bazar itu, di sini, semalam.
Abdul Rahman berkata, kedudukan pasar itu di lokasi strategik juga menjadikannya tumpuan orang ramai, termasuk bukan Islam untuk membeli pelbagai juadah, termasuk pelbagai makanan dan minuman yang sukar diperoleh pada bulan lain.
Selain itu, beliau berkata, pasar itu juga menyediakan kawasan yang selesa untuk orang ramai dengan turut dilengkapi surau, tandas dan tempat letak kereta, selain anggota Rela turut ditempatkan untuk mengawal keselamatan dan lalu lintas.
"Kami sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan peniaga menjaga kebersihan makanan dan pada masa yang sama menjual makanan berkualiti dengan harga yang berpatutan," katanya.
SUMBER: BERITA HARIAN, 16 SEPTEMBER 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan