PENGUNJUNG SETIA

11 September 2008

PESERTA FELCRA TAK DAPAT TANAH DITEROKA 38 TAHUN

Johor: Peserta Felcra tak dapat tanah diteroka 38 tahun

Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bharian.com.my

BUKTI: Papan tanda menunjukkan kawasan diselia syarikat perladangan milik peserta Felcra Kundang Ulu.

PTD didakwa tidak ikut peraturan kurnia hak milik

LEDANG: Hasrat 260 peserta Felcra Kundang Ulu, di sini, mendapatkan hak milik tanah kerajaan yang mereka terokai sejak 38 tahun lalu, tidak kesampaian, apabila tanah berkenaan dikurniakan kepada individu lain, termasuk penduduk luar kawasan, awal bulan lalu.

Tanah seluas kira-kira 80 hektar itu adalah sebahagian daripada kawasan seluas 1,080 hektar yang dikurniakan kepada peserta Felcra terbabit pada 1970.

Bagi mengelak tanah kosong itu terbiar kerana kedudukannya di bahagian depan kawasan Felcra, peneroka melalui Syarikat Perladangan Peserta Kundang Sdn Bhd, yang menguruskan tanah peserta bertindak mengusahakan kawasan itu dengan tanaman getah dan kelapa sawit hingga sekarang.

Ketua Umno Cawangan Parit Medan, Kundang Ulu Pagoh, Mohd Solihan Badri, berkata peserta Felcra berkenaan terkejut apabila mengetahui tanah yang mereka teroka sudah diagihkan kepada 65 individu lain dengan keluasan 1.3 hektar tiap seorang.

Beliau mendakwa, pengurniaan tanah itu tidak mengikut prosedur biasa kerana tiada sebarang pengumuman dibuat oleh Pejabat Tanah Daerah (PTD) kepada penduduk tempatan bagi membolehkan mereka mengemukakan permohonan mendapatkan hak milik tanah berkenaan.

"Sebelum ini, peserta Felcra memang tidak mengemukakan permohonan bagi mendapatkan hak milik tanah itu, kerana menyangkakan kerajaan akan merujuk kepada Felcra sebelum bertindak mengagihkannya kepada individu lain.

"Ini kerana selain mengambil kira tanah itu adalah sebahagian daripada kawasan yang diwartakan sebagai tanah Felcra, peserta pula sudah memerah keringat melalui syarikat yang ditubuhkan bagi membangunkan tanah berkenaan," katanya ketika ditemui di Kundang Ulu, di sini.

Mohd Solihan berkata, peserta tidak keberatan untuk memohon hak milik tanah itu jika PTD membuat pengumuman terlebih dulu, termasuk melalui Penghulu Mukim dan wakil rakyat.

Tindakan kerajaan negeri dan PTD itu, dakwanya, membelakangkan peserta Felcra tanpa mengambil kira pengorbanan mereka yang membangunkan tanah itu sehingga memberi peluang orang lain menikmati hasilnya.

Ketua cawangan Umno Kundang Ulu, Encik Nasir Bin Md Piah berkata, beliau terkejut apabila mengetahui tanah seluas 80 hektar sudah diagihkan kepada individu lain, pada hal terdapat papan tanda syarikat peneroka didirikan atas tanah berkenaan.

Sumber: Berita Harian, 11 September 2008

Tiada ulasan: