PENGUNJUNG SETIA

15 September 2008

TANAH DITEROKA TANPA PENGETAHUAN

Johor: Tanah diteroka tanpa pengetahuan

Oleh Jamaludin Husin


TANAH kerajaan berdekatan kawasan Felcra Kundang Ulu yang diterokai penduduk tempatan kini berpindah milik kepada bukan peneroka asal sejak sebulan lalu.

Penduduk dakwa pengurniaan langgar prosedur berikutan tiada pengumuman

MUAR: Keputusan kerajaan negeri meluluskan permohonan tanah kerajaan seluas kira-kira 80 hektar berdekatan kawasan tanah Felcra Kundang Ulu, dekat sini kepada 65 individu termasuk penduduk luar kawasan, bulan lalu, mengecewakan penduduk kampung sekitar Bukit Serampang dan Kundang Ulu yang tidak mempunyai tanah.

Pengurniaan itu juga turut mengejutkan pemimpin akar umbi terutama ketua Umno cawangan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang.

Mereka mendakwa, pengurniaan itu melanggar prosedur pihak jabatan kerana tiada sebarang pengumuman dibuat Pejabat Tanah Daerah (PTD) bagi membolehkan penduduk tempatan yang tidak mempunyai tanah mengemukakan permohonan.

Ketua cawangan Umno Kampung Parit Medan, Solihan Badri, mendakwa tanah itu diterokai penduduk kampung sekitar Bukit Serampang dan Kundang Ulu yang tidak mempunyai tanah sejak 1970 bagi menambah pendapatan.

Bagaimanapun, katanya, peneroka terbabit terkejut apabila tanah yang mereka bangunkan dengan tanaman getah dan kelapa sawit itu, diagihkan kepada individu lain termasuk mereka yang tinggal di luar kawasan sejak sebulan lalu.

Beliau berkata, pengagihan tanah itu juga tidak pernah dimaklumkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang, Tahir Mohamad Taat,

"Kami difahamkan mereka yang dikurniakan tanah itu mendapat agihan seluas 1.2 hektar tiap seorang dan sudah membayar premium melalui Borang 5A PTD, bulan lalu.

"Keadaan itu mengejutkan peneroka yang mengusahakan tanah itu kerana mereka kini berputih mata apabila tanah yang dibangunkan itu diberikan kepada orang lain," katanya, di sini, kelmarin.

Solihan berkata, pihak PTD seharusnya memaklumkan pengagihan tanah itu kepada Adun, kerana tanah itu sudah diusahakan penduduk dalam kawasan DUN berkenaan.

Beliau berkata, ia kerana keluasan tanah itu yang melebihi 12 hektar itu memerlukan pengumuman PTD kepada penduduk yang layak membuat permohonan secara terbuka.

"Tanah kosong yang diterokai penduduk tempatan itu adalah sebahagian tanah Felcra Kundang Ulu seluas kira-kira 1,000 hektar diusahakan penduduk sejak 1970," katanya

Ketua cawangan Umno Kundang Ulu, Nasir Md Piah turut terkejut dengan perkembangan itu dan berharap pihak kerajaan dapat menyiasat pengurniaan tanah yang sudah diterokai penduduk tetapi diserahkan kepada pihak lain.

Beliau mendakwa, pengurniaan tanah itu tidak telus dan mengelirukan orang ramai khususnya penduduk tempatan selaku peneroka asal tanah berkenaan.

"Ia kerana mereka sebelum ini sudah memerah keringat dan mengeluarkan perbelanjaan bagi membangunkan tanah itu tetapi pihak lain yang menikmati hasilnya," katanya.

Tinjauan mendapati kawasan yang diterokai itu ditanam dengan kelapa sawit yang sudah mengeluarkan hasil dan kedudukannya di tepi jalan Kundang Ulu ke Bukit Serampang.

SUMBER: BERITA HARIAN, 15 SEPTEMBER 2008

Tiada ulasan: