Penternak lembu kecewa rumput diracun
|
|
Barnin Sawo, 46, berkata, sejak kebelakangan ini, terdapat pihak yang menyembur racun rumpai di kawasan rumput ladang tersebut yang dikhuatiri akan membahayakan lembu-lembu ternakannya.
Meskipun racun rumpai itu hanya bertujuan menghapuskan semak samun di ladang berkenaan, dakwa Barnin, perbuatan itu seolah-olah cuba 'menghalau' dirinya supaya berpindah ke tempat lain.
"Apa yang berlaku mengejutkan kerana sebelum ini tidak pernah ada orang meracun di kawasan padang ragut lembu-lembu ternakan saya," katanya ketika ditemui di Kundang Ulu dekat sini hari ini.
Barnin memberitahu, dia telah menandatangani perjanjian untuk menternak di kawasan seluas 500 hektar di ladang tersebut mulai tahun 2004 dan kontrak itu tamat pada penghujung Oktober ini.
Menurutnya, sejak mengusahakan ternakan itu, kesemuanya berjalan lancar, malah pekerja ladang terbabit tidak pernah meracun di mana-mana kawasan ragut ternakannya.
Berikutan masalah itu, kata Barnin, dia terpaksa memindahkan sebahagian kecil lembu ternakannya ke satu kawasan seluas 1.2 hektar di Felcra Kundang Ulu atas alasan keselamatan.
"Kawasan rumput di Felcra itu tidak mampu memenuhi keperluan 600 ekor lembu ternakan saya kerana jumlah itu memerlukan sekurang-kurangnya 400 hektar kawasan rumput," katanya.
Justeru, beliau merayu pihak berkaitan supaya mengatasi masalah tersebut bagi memastikan ternakannya mempunyai tempat meragut rumput yang mencukupi.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 7 SEPTEMBER 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan