Amanat Tunku segar di ingatan
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
|
Warga emas berusia 83 tahun itu begitu bersemangat ketika ditemui di rumahnya di Serom 2, di sini bagi menceritakan pengalamannya menyertai ceramah Tunku Abdul Rahman di kampungnya itu, beberapa tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 lalu.
"Meskipun saya tidak ingat bila tarikh lawatan Tunku ke kampung ini, tetapi saya masih ingat antara inti pati ucapannya menyeru penduduk Tanah Melayu supaya bersatu menuntut kemerdekaan, selepas berjaya menentang Malayan Union.
"Pertama kali saya melihat Tunku dari dekat, saya tertarik dengan penampilannya yang biasa, malah Tunku seorang yang mudah mesra dengan rakyat walaupun beliau adalah pemimpin berdarah raja," katanya.
Alias yang merupakan bekas imam dan kini mengajar agama secara sukarela, menceritakan detik-detik kedatangan Tunku ke Serom yang disambut hampir 1,000 penduduk kawasan itu.
Kedatangan Bapa Kemerdekaan negara itu adalah dalam rangka lawatannya ke seluruh tanah air bagi meniup semangat kemerdekaan kepada penduduk, khususnya bagi membebaskan diri daripada cengkaman British.
Malah, Alias sendiri tidak dapat melupakan betapa bangganya penduduk di kampung itu menyambut kedatangan Tunku.
Sebelum ini, katanya, Serom pernah menerima kunjungan pejuang tanah air, Allahyarham Datuk Onn Jaafar yang datang untuk menarik sokongan penduduk bagi menentang Malayan Union pada tahun 1948.
Baginya, Tunku adalah seorang pemimpin yang hebat kerana tidak mementingkan mutu pakaiannya meskipun beliau seorang pemimpin.
"Saya ingat lagi, ketika itu, beliau memakai baju Melayu serta bersampin, tetapi pakaiannya, tidak mewah dan biasa malah ada lagi rakyat lain yang lebih mahal pakaiannya.
"Tetapi semua itu bagi Tunku tidak melemahkan semangatnya untuk terus berjuang dan ciri-ciri inilah yang menarik minat saya untuk turut bersama dalam pertubuhan," jelasnya.
Alias baru-baru ini menerima anugerah Tokoh Kemerdekaan peringkat Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom daripada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-51 negara peringkat DUN tersebut.
Bergiat aktif dalam UMNO sebaik sahaja ditubuhkan pada tahun 1946, Alias merupakan antara generasi muda ketika itu yang menyertai perjuangan pemimpin kawasan Serom iaitu Allahyarham Ali Omar dan Allahyarham Long Gendut.
"Sebut sahaja nama kedua-dua mereka, pasti penduduk sekitar Serom akan kenal mereka ini. Dengan ahli hanya seramai 200 orang, saya menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dengan tunjuk ajar kedua-dua pemimpin kawasan ini.
"Sebagai penduduk Tanah Melayu ketika itu, kami sering berfikir, apakah nasib generasi masa depan sekiranya kita masih dijajah oleh pemerintah Barat," jelasnya.
Untuk itu, kata Alias, dia dan rakan-rakan bertekad untuk meningkatkan taraf hidup rakyat kawasan itu dengan segala kudrat yang ada.
Katanya, ketika UMNO ditubuhkan pada tahun 1946, ramai di kalangan ahlinya berkeyakinan bahawa suatu hari kelak, Tanah Melayu mampu bebas daripada penjajah, namun ramai di antara mereka tidak tidak mengagak bahawa tempoh itu hanya 11 tahun selepas UMNO ditubuhkan.
Selepas mengecap kemerdekaan, Alias berhijrah ke Brunei untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang agama selama 25 tahun di negara terbabit.
Beliau yang mendirikan rumah tangga dengan Hasnah Yusof, 75, kembali ke tanah air pada tahun 1982 dan mempunyai seramai sembilan orang anak serta 55 orang cucu.
Disebabkan beliau lama meninggalkan tanah air, banyak kenangan dan catatan penting Alias yang tidak lagi berada dalam simpanannya, namun sebahagian besar perjuangan itu masih terpahat dalam ingatan.
"Sebagai generasi yang pernah merasai suasana sebelum merdeka, saya berharap agar anak-anak muda di negara ini dilengkapi dengan ilmu agama kerana ia dapat membantu mengukuhkan tahap keimanan dan kekuatan minda mereka agar kita tidak lagi dijajah," jelasnya.
Sumber: Utusan Malaysia, 12 September 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan