Roh Ramadan wajar bangkit kesederhanaan Aidilfitri
Perspektif Ikim oleh Norkumala Awang
RAMADAN hampir melabuhkan tirainya. Fajar Syawal akan menyingsing menandakan bermulanya detik dinantikan semua Muslimin selepas berpuasa sebulan. Namun, benarkah jihad berpuasa itu terkesan dalam sanubari setiap insan atau sekadar momokan yang sering diperkatakan namun ia tidak seperti dilaksanakan.
Ramadan adalah tarbiah untuk setiap Muslim yang melaluinya kerana natijah terakhir daripada Ramadan ialah takwa seperti difirmankan Allah dalam al-Quran.
Renungkanlah kembali sama ada Ramadan kali ini membuahkan hasil yang baik atau sebaliknya. Muhasabah supaya dapat mencari di mana kekurangan kita sebagai hamba-Nya yang lemah.
Andai kata Ramadan mendidik kita menjadi seorang penyabar, berjimat cermat, beradab baik dan pelbagai sifat mahmudah lain, fikir dan soroti kembali dengan kehidupan nyata yang dilalui selama sebulan ini.
Bukankah di sana sini berlaku pembaziran yang tidak diingini dalam masa kita semua menghadapi kekangan ekonomi? Cuba lihat di pasar Ramadan, seolah-olah pesta makanan bermula apabila berlangsungnya Ramadan dan ia berterusan sehingga penghujung bulan.
Pelbagai juadah dan aneka kuih muih terhidang kadangkala tidak sehebat sebelum Ramadan tetapi melonjak kehebatannya pada Aidilfitri. Sedar atau tidak, bahawa itu semua adalah kunci kepada pembaziran dan pelbagai masalah buruk lain.
Jika kita lihat, bukan setakat Ramadan saja seperti pesta makanan tetapi apabila menjelang Syawal seolah-olah menjadi puncak pesta makanan kerana pelbagai juadah dihidangkan membangkitkan selera dan cita rasa setiap orang.
Seolah-olah roh Ramadan itu tidak cukup mengesankan hati supaya bersederhana dalam apa juga tindakan dan amalan. Kita tidak mampu mengekalkan tarbiah yang diterapkan pada Ramadan untuk bulan seterusnya. Malah, terus diganggu gugat oleh hawa nafsu dan Aidilfitri dijadikan medan membalas dendam kerana selama sebulan berlapar dan dahaga.
Di segenap rumah pasti tidak ketinggalan mengadakan rumah terbuka sepanjang Syawal dengan menjemput sanak saudara dan rakan taulan. Amalan ini mampu mengeratkan ukhuwah sesama Muslim kerana masing-masing sibuk dengan urusan seharian.
Amalan rumah terbuka boleh mengeratkan kembali tali persaudaraan yang terungkai. Namun, satu perkara yang mungkin masyarakat kita terlepas pandang ialah penjagaan kesihatan. Penjagaan kesihatan sering kali diabaikan tatkala masyarakat terlalu sibuk dengan persiapan hari raya termasuk memenuhi undangan rumah terbuka.
Kita lupa penjagaan kesihatan penting untuk kehidupan yang baik. Adakah ini semangat Syawal yang kita tuai selepas disemai sepanjang Ramadan yang mulia?
Seharusnya, kita boleh jadikan Ramadan sebagai satu langkah permulaan pengekalan kesihatan berterusan. Dalam keghairahan menyambut Aidilfitri, pelbagai persiapan disediakan namun janganlah sesekali kita mengabaikan soal kepentingan keselamatan makanan.
Walaupun ramai beranggapan hari raya ibarat pesta makanan, namun ia bukanlah puncak segala-galanya jika selepas menikmati pelbagai juadah ramai yang terpaksa dimasukkan hospital dan menanggung ketidakselesaan kerana timbul gejala cirit-birit, sakit perut atau keracunan makanan.
Jika hal ini berlaku, ia akan menjejaskan kemeriahan menyambut hari raya. Oleh itu, seharusnya kita bersyukur dengan didikan Ramadan yang mengajar kita supaya bersederhana dalam semua perkara termasuk hal makan dan minum.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Kami adalah suatu kaum yang tidak makan sebelum kami lapar dan sekiranya kami makan tidak pula sampai kenyang."
Justeru, semangat Ramadan yang kita harungi selama sebulan perlu diteruskan sehingga Syawal dan bulan seterusnya supaya menjadi penjana untuk kesihatan jasmani dan rohani. Semoga Syawal yang kita akan lalui membawa pengertian mendalam ke atas jiwa setiap insan yang berjaya menamatkan ujian Ramadan.
SUMBER: BERITA HARIAN, 29 SEPTEMBER 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan