Peserta teruja sertai konvoi bermotosikal
LEDANG 7 Sept. - Seramai 180 peserta Jelajah Merdeka Rakan Muda 2008 dari Ledang ke Segamat, baru-baru ini begitu teruja menyertai program itu meskipun ada antara mereka baru pertama kali mengikuti konvoi bermotosikal.
Dengan syarat yang ditetapkan penganjur iaitu setiap motosikal mesti enjin berkapasiti 150cc ke bawah, belia-belia Rakan Muda itu didapati begitu bersemangat untuk menyertai konvoi tersebut.
Salah satu faktor yang mendorong mereka menyertai kembara itu ialah perasaan ingin merasai sendiri suasana sambutan kemerdekaan dengan cara tersebut.
Rata-rata peserta yang ditemui pada majlis pelepasan kembara di Dataran Ledang, Tangkak begitu bersemangat dan ada juga berasa gementar kerana kali pertama mengikuti kembara seperti itu.
Peserta dari Kesang Laut, Mohd. Salihin Jamal, 21, berkata, kembara itu merupakan yang kedua diikutinya dan ia mampu mengeratkan lagi hubungan antara belia sebaya dengannya.
"Selain itu, saya gemar menyertai kembara ini kerana ia banyak mengajar saya teknik tunggangan yang berdisiplin," katanya yang bekerja sebagai penghantar pizza di sini.
Bagi Ahmad Farhan Jailan, 20, meskipun masih menuntut di Kolej Matrikulasi Jasin, Melaka, kesempatan menyertai kembara itu tidak disia-siakannya.
Ia merupakan kali pertama penuntut dari Tanjung Agas itu menyertai kembara tersebut dengan menggunakan motosikal jenis Yamaha LC 135 sepanjang kembara itu.
"Perasaan semakin seronok untuk menyertai kembara ini apabila empat rakan saya yang menuntut di kolej yang sama turut serta," jelasnya.
Rakannya, Mohd. Fikri Jailani, 18, pula berkata, sebagai generasi muda, beliau berbangga kerana dapat menyertai kembara itu untuk merasai sendiri semangat sambutan Hari Kemerdekaan ke-51 negara.
Pekerja Pizza Hut Muar itu berkata, peluang tersebut mungkin hadir sekali dalam tempoh setahun dan dia bersemangat untuk menyertai kembara lain pada masa akan datang.
Bagi Mohd. Haziq Mohd. Farid, 17, pula, dia tetap gementar kerana kali pertama mengikuti kembara itu menggunakan motosikal jenis Honda Wave 125.
"Perasaan takut itu masih ada, tetapi saya cuba tenangkan apabila melihat rakan-rakan lain turut bersemangat," kata pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Teknik Sungai Abong itu.
Sumber: Utusan Malaysia, 8 September 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan