Hidupkan malam Raya
HARI Raya Aidilfitri adalah antara hari yang paling ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar umat Islam. Ini kerana semasa hari lebaran inilah golongan perantau berpeluang pulang bertemu ibu bapa dan sanak saudara masing-masing.
Sebab itulah, perjalanan jauh walaupun terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas tidak dihirau. Ibarat lirik lagu Balik Kampung nyanyian Allahyarham Sudirman Hj. Arshad, "perjalanan jauh tak ku rasa, kerana hati ku melonjak sama ingin berjumpa sanak saudara, yang selalu bermain di mata".
Esok, umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri, insya-Allah. Hari kemenangan yang memang patut diraikan selepas kejayaan mengekang hawa nafsu sepanjang sebulan berpuasa Ramadan.
Hari Raya atau eid bermakna kembali. Jadi, Aidilfitri bermaksud kita kembali kepada fitrah iaitu boleh makan dan minum pada siang hari. Sebabnya, umat Islam hanya wajib puasa sepanjang Ramadan. Baki 11 bulan yang lain kita kembali kepada asal atau keadaan sebenar iaitu bebas makan dan minum pada waktu siang.
Dalam keseronokan berhari raya, jangan kita lupa bahawa sambutan Aidilfitri juga adalah ibadat. Justeru, beberapa amalan sunat perlu diutamakan di sebalik kesibukan menukar langsir baru atau memenuhkan meja makan dengan pelbagai juadah.
Bertakbir
Pada malam hari raya, hendaknya ia diisi dengan amalan bertakbir. Bukannya melekat di depan televisyen menonton pelbagai acara hiburan yang disaji. Biar tangan sibuk bekerja merebus ketupat dan masak rendang tetapi lidah kita sentiasa basah dengan lafaz takbir. Takbir bagi menyatakan kesyukuran kepada Allah.
Aidilfitri bermula apabila terbenam matahari hari terakhir Ramadan (mulai waktu Maghrib) sehingga mula solat sunat hari raya.
Galakan bertakbir disebut secara jelas menerusi firman Allah yang bermaksud: ...hendaklah kamu mencukupi bilangan puasa dan bertakbirlah (mengagungkan dan membesarkan) Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada mu, semoga kamu bersyukur. (al-Baqarah: 185).
Malangnya, amalan ini kurang popular terutama di kalangan generasi muda. Ramai daripada golongan ini memilih untuk berkumpul di tepi-tepi jalan, menghisap rokok dan menunggang motosikal. Malah, ada juga yang merempit pada malam hari raya.
Selain bertakbir, kita juga disunat menghidupkan malam raya dengan ibadat lain seperti tilawah al-Quran, solat, tasbih dan istighfar. Pastikan masjid dan surau tidak lengang persis warga kota meninggalkan ibu negara untuk pulang ke kampung.
Ingatlah sabda Rasulullah SAW, "Sesiapa yang menghidupkan malam raya Fitrah dan malam raya Adha dengan mengharapkan pahala, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati sekalian hati. "(Riwayat Ibn Majah).
Bersalaman dan bermaafan
Sudah menjadi amalan masyarakat kita untuk mengambil kesempatan Aidilfitri bagi memohon maaf antara satu sama lain. Tidak ada salahnya berbuat demikian, cuma kita bimbang umat Islam hanya menunggu hari lebaran baru mahu bermaaf- maafan. Sepatutnya amalan tersebut bermula sejak kita menyambut Ramadan lagi.
Ingatlah kisah Baginda SAW dan isterinya, saidatina Aisyah sewaktu Rasulullah pergi berdakwah kepada masyarakat jin. Sebelum keluar rumah, Aisyah berjanji akan menunggu kepulangan Baginda walaupun dilarang oleh Rasulullah.
Dipendekkan cerita, disebabkan terlalu banyak pertanyaan oleh para jin, maka Rasulullah SAW terlewat pulang ke rumahnya.
Setibanya di rumah, Baginda memberi salam tetapi tiada jawapan. Selepas beberapa kali berbuat demikian, maka Baginda pun memutuskan untuk tidur di hadapan pintu rumah kerana menjangkakan isterinya sudah tidur.
Tidak lama kemudian, Aisyah yang terjaga daripada tidur bergegas berlari membuka pintu. Akibat tergesa-gesa, nyaris Aisyah terpijak pipi Rasulullah yang tertidur tadi menyebabkan Baginda terjaga.
Namun, sesuai dengan firman Allah bahawa Rasulullah itu adalah contoh teladan terbaik, kisah itu berakhir dengan kedua-dua pihak memohon kemaafan. Aisyah terlebih dahulu mohon maaf kerana tertidur menyebabkan Baginda terpaksa tidur di luar. Baginda SAW juga turut minta maaf kerana pulang lewat.
Amalan
Begitulah indahnya Islam yang mengajar umatnya sentiasa mengakui kesilapan dan segera memohon maaf. Bukannya menunggu masa atau tarikh-tarikh tertentu berbuat demikian.
Satu lagi kebiasaan masyarakat Melayu ialah amalan bersalam-salaman semasa hari raya.
Ia adalah sifat mulia sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud, "tidaklah dua orang Islam bertemu saling bersalaman dan berjabat tangan melainkan diampunkan dosa mereka sebelum mereka berpisah. (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah).
Bagaimanapun, Islam tidak membenarkan 'matlamat menghalalkan cara'. Amalan ini perlu ada batasnya yang perlu menjaga adab-adab Islam seperti tidak bersalaman dengan golongan yang bukan mahram.
Menunaikan zakat
Satu lagi kefarduan yang mesti ditunaikan adalah membayar zakat fitrah. Jangan menunggu sehingga saat akhir pada pagi sebelum solat hari raya baru terhegeh-hegeh hendak membayarnya. Tunaikan seawal mungkin supaya rukun Islam keempat itu dijelaskan.
Ibnu Abbas menyatakan: "Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang- orang miskin". (Riwayat Abu Daud).
Kelewatan menunaikan zakat menyebabkan ia tidak diterima dan hanya dianggap sedekah yang perlu diqada pada tahun berikutnya.
Solat sunat Hari Raya
Dalam banyak amalan solat, mungkin solat Hari Raya paling digemari oleh semua Muslim. Sebabnya walaupun ada di kalangan umat Islam yang tidak cukup solat fardu lima waktu sehari dan solat Jumaat pun hanya sekali-sekali, namun solat Hari Raya tidak pernah ditinggalkan.
Solat Aidilfitri hukumnya sunat muakkad yang amat dituntut oleh Baginda SAW supaya dilaksanakan oleh orang-orang Islam. Ia disyariatkan oleh Allah pada tahun pertama hijrah. Ia digalakkan kepada pelbagai peringkat umur dan lapisan umat Islam meliputi kaum lelaki, perempuan, kanak-kanak, tua, muda, gadis mahupun janda.
Dalam menunaikan solat ini, kita disunatkan memakai pakaian tercantik dan bersih. Baginda SAW turut makan sedikit sebelum keluar solat Aidilfitri. Ini dijelaskan menerusi sabda Rasulullah SAW: Adalah Nabi SAW tidak beredar pada Hari Raya Aidilfitri hinggalah Baginda makan beberapa biji tamar. (Riwayat Bukhari)
Dalam kesempatan Aidilfitri, serikanlah ia dengan amalan ziarah menziarahi. Rasulullah pernah bersabda, "Wajib kasih sayangku kepada orang-orang yang ziarah menziarahi keranaku". (Riwayat Ahmad).
Pada hari raya, hendaklah kita mengamalkan kesederhanaan termasuklah dalam bab makan-minum. Jangan pula kita amalkan, 'pantang jumpa' habis dimakan semuanya.
Sebab itu diriwayatkan seorang tabib Arab berkata, perut adalah rumah penyakit dan berpantang adalah kepala segala ubat.
Akhir kalam, semoga sambutan Aidilfitri kali ini disambut dengan takbir dan tahmid bukannya hanya dipenuhi dengan menyaksikan pelbagai rancangan hiburan semata-mata.
Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 30 SEPTEMBER 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan