PENGUNJUNG SETIA

21 September 2008

LAHIRKAN RAMAI PAKAR TAFSIR AL-QURAN-MB

Lahirkan ramai pakar tafsir al-Quran - MB


ABDUL Ghani Othman bertanyakan sesuatu kepada salah seorang anak yatim yang menerima bantuan pada majlis penyampaian sumbangan sempena Hari Raya di Masjid Jamek Serom 3 di Muar, semalam.

MUAR 20 Sept. - Kerajaan Johor sedang berusaha melahirkan lebih ramai pakar tafsir al-Quran di kalangan generasi muda di negeri ini untuk ditempatkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan daerah.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, pakar-pakar tafsir itu akan berperanan mengajar dan melatih masyarakat di kawasan mereka supaya dapat memahami isi ayat-ayat suci al-Quran dengan tepat.

Menurutnya, mereka yang berkelayakan dalam bidang al-Quran termasuk hafiz akan dihantar ke institusi pengajian tinggi terbaik sama ada di dalam atau luar negara bagi mendalami bidang itu.

Katanya, kerajaan negeri berharap selepas mereka mendalami bidang berkenaan dalam tempoh empat hingga lima tahun, mereka akan dihantar ke setiap mukim, daerah atau DUN untuk mengajar penduduk di kawasan berkenaan.

"Kerajaan Johor telah mula mengamalkan budaya membaca al-Quran di kalangan generasi muda sejak 12 tahun lalu, dan langkah melahirkan lebih ramai ahli tafsir al-Quran di negeri ini adalah kesinambungan daripada usaha memartabatkan kandungan kitab suci tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan sumbangan Hari Raya kepada lebih 200 fakir miskin serta anak-anak yatim di Masjid Jamek Serom 3, Ledang dekat sini petang semalam.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri dan Pegawai Daerah Ledang, Asmail Abdul Kadir.

Pada majlis itu, Abdul Ghani turut merasmikan Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Ledang (Pekayil) yang bertujuan memberi perlindungan serta mengumpul dana bagi memelihara anak-anak yatim di daerah tersebut.

Menurutnya, langkah melahirkan ramai pakar tafsir al-Quran itu adalah usaha kerajaan negeri bagi memahirkan tahap penguasaan kitab suci itu dari sudut bacaan, terjemahan dan tafsirnya.

Katanya, ia juga merupakan satu langkah menyahut seruan Rasulullah S.A.W supaya umat Islam berpegang teguh kepada kitab suci al-Quran dan Sunnah baginda.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 21 SEPTEMBER 2008

Tiada ulasan: