PENGUNJUNG SETIA

18 September 2008

DAPAT DIVIDEN HARI RAYA

Dapat dividen hari raya


PESERTA Felcra Kundang Ulu diketuai Md. Rasip Rabikun (tiga dari kanan) bangga melihat replika cek bayaran dividen bulan Ogos dan sempena hari raya yang diterima mereka di Kundang Ulu, dekat


MUAR 17 Sept. – Seramai 290 peserta Felcra Kundang Ulu dekat sini bersyukur kerana memperoleh dividen RM2,200 setiap keluarga, kelmarin.

Kesemua mereka adalah pengusaha tanaman kelapa sawit seluas 1,071 hektar melalui sebuah syarikat Perladangan Peserta Kundang Sdn. Bhd. sejak 1974.

Dividen itu disampaikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Penyerahan Dividen Hari Raya di Dewan Serbaguna Felcra Kundang Ulu, dekat sini.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut menyampaikan replika cek berjumlah RM1,073,000 kepada ketua peserta Felcra itu, Md. Rasip Rabikun.

Ini merupakan dividen tertinggi diterima peserta Felcra berkenaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Tahun lalu, setiap keluarga menerima dividen berjumlah RM1,000 dan kali ini, jumlah itu bertambah berdasarkan peningkatan keuntungan yang diperoleh syarikat Perladangan Peserta Kundang Sdn. Bhd.

Md. Rasip berkata, setiap peserta menerima wang tunai berjumlah RM500 seorang pada majlis penyampaian semalam dan bakinya akan dimasukkan ke dalam akaun bank.

“Selain dividen yang diterima sempena Hari Raya Aidilfitri, syarikat juga memberikan dividen bulanan mengikut nilai keuntungan syarikat dan untuk bulan Ogos, para peserta menerima sejumlah RM1,500.

“Kami bersyukur kerana penubuhan koperasi syarikat Felcra ini banyak membantu para peserta meraih pendapatan tetap dan sebagai simpanan kami pada masa depan,” katanya.

Ketika ini, syarikat koperasi peserta Felcra itu mengusahakan tanaman kelapa sawit dan ternakan lembu bagi memperoleh keuntungan yang akan dikongsi bersama para peserta.

Sementara itu, seorang peserta, Sulaiman Abdullah, 54, memberitahu, dividen itu akan digunakannya sebagai persiapan menyambut hari raya tidak lama lagi.

“Saya berterima kasih kepada Felcra dan kerajaan kerana menubuhkan koperasi yang cekap bagi mengaut keuntungan yang mampu kami kongsi bersama,” katanya yang mempunyai enam orang anak.

Bagi generasi kedua peserta Felcra, Jamhairi Md. Damin, 40, pula, ini merupakan kali kedua dia memperoleh dividen sempena hari raya selepas kematian bapanya.

Sambil tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya, dia yang bekerja sendiri akan menggunakan dividen itu untuk keperluan hari raya dan simpanan.

Bariah Sujak, 67, seorang usahawan produk industri kecil dan sederhana (IKS) di Kampung Hujung Tambak turut bersyukur dengan pemberian dividen itu.

“Bantuan ini dapat saya gunakan untuk membiayai perbelanjaan cucu saya yang masih bersekolah,” katanya.

Uminatin Jupani, 62, yang merupakan ibu tunggal pula menyifatkan bantuan dividen itu merupakan rezeki yang tidak ternilai bagi dirinya dan keluarga.

Dia yang kehilangan suami sejak lebih 20 tahun lalu mempunyai empat orang anak akan menggunakan wang dividen itu untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 18 SEPTEMBER 2008

Tiada ulasan: