PENGUNJUNG SETIA

22 Februari 2009

BALU, 4 ANAK TERIMA SUMBANGAN RM5,500


ABD. Aziz Kaprawi berbual dengan Norlela selepas menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,500 kepadanya di Kampung Kesang Laut, Muar, semalam.

MUAR 21 Feb. – Nasib seorang balu dan empat anaknya yang kematian suami akibat lemas di laut mendapat simpati apabila Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Abd. Aziz Kaprawi menghulurkan sumbangan RM5,500 kepada lima beranak itu.

Wanita berkenaan, Norlela Abdul Aziz, 40, kehilangan suaminya yang merupakan seorang nelayan, Jaafar Osman, 44, selepas bot yang dinaiki Allahyarham karam di perairan berhampiran Parit Sakai di sini 9 Februari lalu.

Menurut Abd. Aziz, sumbangan yang diserahkannya itu terdiri daripada sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM3,000, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (RM2,000) dan sumbangan Persatuan Nelayan Muar sebanyak RM500.

“Dalam menghadapi musibah ini, kita akan memberi bantuan kepada keluarga Allahyarham dan tuan punya bot yang kehilangan botnya.

“Saya juga akan membantu sekiranya ada masalah lain atas rasa keprihatinan kepada musibah ini,” katanya kepada pemberita ketika di rumah Norlela di Kampung Kesang Laut di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri, pihaknya akan membantu menjelaskan sewa rumah Norlela pada setiap bulan sehingga rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi keluarga tersebut disiapkan.

“Kami akan membantu membayar sewa rumah keluarga ini sehingga mereka berpindah ke rumah baru,” katanya.

Dalam pada itu, Norlela memberitahu, dia melahirkan rasa syukur di atas bantuan yang diberikan kepada keluarganya dalam menghadapi musibah tersebut.

“Saya pun hanya bekerja kilang dengan pendapatan RM500 sebulan dan akhir-akhir ini kami ada mendengar khabar angin kemungkinan bakal kehilangan kerja sebab kilang akan ditutup,” katanya.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 22 FEBRUARI 2009

Tiada ulasan: