PENGUNJUNG SETIA

09 Februari 2009

TIGA CADANGAN UTAMA BANTU SEKTOR INDUSTRI, PERDAGANGAN

MUHYIDDIN melancarkan buku bertajuk Pengukuhan Keterlibatan Masyarakat: Menyemarakkan Masyarakat Penyayang, sambil diperhatikan oleh Dr Syarifah Hapsah, sempena Program Jalinan Erat UKM-Masyarakat Kundang Ulu, di Tangkak, semalam.

TANGKAK: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan mengemukakan tiga cadangan utama bagi membantu sektor industri, pelaburan dan perdagangan, pada pakej ransangan kedua ekonomi yang akan dibentangkan di Parlimen, tidak lama lagi.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata cadangan itu yang akan dikemukakan kepada Menteri Kewangan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat ini, penting bagi menghadapi kemungkinan ekonomi lebih merosot terutama pada suku tahun kedua.

Katanya, asas cadangan bagi memastikan sektor industri terus mendapat sokongan, selain menarik pelaburan asing dan menggalakkan produk eksport.

"Pada peringkat kementerian, kita mahu melihat apa yang boleh dibuat untuk membantu sektor industri khususnya pembuatan dan juga pelaburan, disamping perdagangan dan ini adalah tiga perkara yang akan kita ambil kira," katanya selepas merasmikan Program Jalinan Erat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)-Masyarakat Kundang Ulu, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Temenggong Ahmad, di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Serampang, Tahir Mohd Taat dan Pegawai Daerah Ledang, Asmail Abdul Kadir.

Muhyiddin berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan supaya sektor pembuatan itu mempunyai sokongan supaya tidak terus merosot dengan begitu teruk yang boleh menyebabkan pengunjuran dan kesan sampingan kepada ekonomi yang lain.

Selain itu katanya, unjuran dibuat pihak Bank Dunia bahawa pelaburan tahun ini akan menguncup jauh lebih kecil berbanding tahun sebelum ini menyebabkan Malaysia yang bergantung kepada pelaburan asing memerlukan langkah tambahan serta insentif bagi menarik minat pelabur.

"Kita memerlukan insentif bagi menarik pelaburan secara tertumpu ke negara ini dan saya fikir masih ada yang berminat melabur di Malaysia kerana keadaan ekonomi yang merosot di negara maju menyebabkan kos tinggi dan ada syarikat asing contohnya di Jepun berminat menukar operasi mereka ke negara ini kerana kos jauh lebih rendah," katanya.

Katanya, pihaknya juga akan mengemukakan kepada kerajaan cadangan pakej rangsangan untuk menggalakkan perdagangan eksport dengan mencari pasaran baru yang perlu dijalankan bagi mengelak situasi lebih sukar.

SUMBER: BERITA HARIAN, 9 FEBRUARI 2009

Tiada ulasan: