PENGUNJUNG SETIA

09 Februari 2009

MODUL SAKINAH KINI MULA DILAKSANA

Pegawai Penggerak Sakinah YPKDT, Ustaz Zakaria Muhammad sedang mencukur rambut bayi pada majlis Pengamalan Sakinah di Surau 2 Parit Kassan, baru-baru ini.

MUAR: Program Modul Sakinah yang diperkenalkan Kerajaan Johor lebih 10 tahun lalu kini sampai ke peringkat amali.

Ia bertujuan mempraktikkan teori yang disebarkan melalui modul itu supaya dapat dijadikan panduan dalam kehidupan seharian yang berlandaskan ajaran Islam.

Antara aktiviti itu ialah amalan mencukur rambut bayi baru lahir, memberi nama bayi dengan nama bercirikan agama, penyerahan tanggungjawab ibu bapa terhadap suruhan agama kepada anak sedang meningkat remaja, khatam al-Quran dan adab di majlis perkahwinan.

Pegawai Penggerak Modul Sakinah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Abong, Hasbollah Md Samad, berkata ia bertujuan mengelak acara yang diadakan itu berunsur khurafat sehingga boleh menjejaskan akidah di kalangan umat Islam.

Katanya, jika sebelum ini program Modul Sakinah diperkenalkan melalui ceramah, tayangan video atau slaid, kini pegawai penggerak modul itu turun padang untuk memberi bimbangan secara praktikal kepada masyarakat Islam.

“Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim (YPKDT) yang bertanggungjawab terhadap kejayaan Program Modul Sakinah turut menganjurkan acara yang sama di peringkat mukim dan daerah sejak setahun lalu.

"YPKDT juga sedia menghantar pegawai dan kakitangan untuk menjayakan program anjuran badan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang ingin mengadakan acara mencukur rambut dan menamakan bayi di kediaman masing-masing," katanya.

Berucap pada majlis ceramah Modul Sakinah di Surau Taman Tun Dr Ismail 5, di sini kelmarin, Hasbollah berkata, Modul Sakinah dapat mengelak masyarakat Islam daripada melakukan perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau berkata, pengetahuan agama yang cetek menyebabkan ramai masyarakat Islam terpengaruh dengan budaya asing terutama ketika mengadakan majlis termasuk perkahwinan dan memberi nama anak yang kurang elok.

“Ibu bapa perlu menggalakkan anak mengaji al-Quran sehingga tamat 30 juzuk serta mengadakan acara berkhatam sama ada secara bersendirian di rumah atau berkelompok di masjid dan surau.

SUMBER: BERITA HARIAN, 09 FEBRUARI 2009

Tiada ulasan: