PENGUNJUNG SETIA

04 Februari 2009

MAHARANI RIVIERA PENUH SAMPAH

Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bharian.com.my

SAMPAH sarap berselerak di bahu jalan dan permukaan jalan di kawasan Maharani Riviera, Tanjung Agas, menjejaskan keindahan alam semulajadi.

Tindakan pihak tidak bertanggungjawab jejas keindahan penempatan baru

MUAR: Orang ramai yang berkunjung ke kawasan penempatan baru, di Maharani Riviera, Tanjung Agas, di sini kecewa dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab yang menjadikan bahu jalan berdekatan tebing Sungai Muar, di situ, tempat pembuangan sampah.

Sebahagian besar bahu jalan yang bersempadan dengan kawasan perindustrian Tanjung Agas itu, dipenuhi dengan pelbagai jenis sampah sarap dan bahan terbuang, selain sisa pepejal, tin dan botol bekas minuman serta karung plastik.

Mereka berpendapat, kawasan itu tidak sepatutnya dijadikan tempat membuang sampah kerana terdapat papan tanda yang melarang perbuatan itu.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh menjejaskan pemandangan semula jadi yang menarik di kawasan berkenaan.

Tinjauan ke kawasan itu mendapati pelbagai sampah-sarap bertaburan bukan saja di bahu jalan, malah memenuhi sebahagian permukaan jalan sehingga menjadikan kawasan persekitaran berbau busuk dan mengalami pencemaran teruk.

Apa yang menimbulkan tanda tanya sebahagian besar bangunan yang dibina di kawasan berkenaan masih belum diduduki, kecuali terdapat beberapa restoran di lorong yang bertentangan dengan Sungai Muar.

Di lorong bahagian depan yang bertentangan dengan kawasan perindustrian, pula terdapat sebuah daripada bangunan rumah kedai di situ dijadikan Pejabat Cawangan Majlis Daerah Tangkak (MDT).

Penduduk, Ibrahim Abu Bakar, 32, berkata Maharani Riviera sebuah kawasan penempatan baru di tebing Sungai Muar yang didirikan tiga tahun lalu dalam usaha PBT melengkapkan lagi pembangunan Bandar Maharani.

"Apa yang dikesalkan apabila ada pihak yang mengambil kesempatan menjadikan kawasan berdekatan dengan tebing sungai di situ, sebagai tempat membuang sampah sarap.

"Kegiatan tidak bertanggungjawab itu turut menjejaskan usaha PBT untuk menjadikan kawasan hutan bakau di tebing sungai itu, sebagai kawasan rekreasi dan bersantai di kalangan penduduk bandar ini," katanya.

Ibrahim berkata, PBT turut melengkapkan bangku tempat duduk, di tebing sungai bagi membolehkan orang ramai bersantai, disamping menikmati keindahan pemandangan menarik Sungai Muar.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 60, mendakwa sampah sarap di situ berkemungkinan besar dibuang oleh warga asing yang menyewa bangunan bertentangan dengan sungai di situ.

Beliau berkata, ini kerana kawasan itu terpencil dan sebahagian besar bangunan rumah kedai di situ masih belum berpenghuni, manakala kedudukannya pula agak jauh dari kawasan perumahan lain.

"Justeru, agak tidak munasabah, sampah sarap di situ dibuang penduduk luar kawasan," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 4 FEBRUARI 2009

Tiada ulasan: