Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Aziz Kaprawi, berkata sebagai langkah awal membantu keluarga itu, pihaknya menyumbang RM3,000 selain bantuan RM2,000 oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta persatuan nelayan yang mengutip sumbangan berjumlah RM500.
Aziz berkata, pihaknya juga bersedia membantu isteri mangsa, Norlaila Abdul Aziz, 40, dan empat anaknya yang berusia antara enam tahun hingga 19 tahun.
“Sumbangan awal itu sebagai tanda kerajaan negeri prihatin terhadap nasib yang menimpa keluarga itu dan kita akan membantu mereka jika ada masalah lain, ” katanya kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan itu kepada keluarga mangsa di rumahnya di Kampung Kesang Laut, di sini, semalam.
Dalam kejadian perairan Parit Haji Baki, dekat sini, kira-kira jam 11 malam 8 Februari lalu, Jaafar Osman dihanyutkan arus manakala rakannya Rizalman Baba, 35, yang sempat berpaut kepada pelampung berjaya diselamatkan nelayan yang kebetulan melalui tempat kejadian, kira-kira sejam kemudian.
Kejadian itu dipercayai berlaku apabila bahagian bawah bot itu pecah sebelum dimasuki air dan karam ketika ribut.
Mayat Jaafar ditemui empat hari kemudian oleh sekumpulan nelayan, terapung di perairan Parit Sakai, kira-kira 12 kilometer daripada lokasi bot karam itu.
SUMBER: BERITA HARIAN, 23 FEBRUARI 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan